
Laporan dan Foto oleh Fauzrina Hj Bulka/ JotaJoti
MELAKA, 3 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 2,000 peserta seluruh negeri termasuk pengakap pendidikan khas disasarkan akan turut sama berhimpun dalam program Jamboree On The Air (JOTA), Jamboree On The Internet (JOTI) dan Klik Dengan Bijak (KDB) pada 14 hingga 16 Oktober ini.
Pengarah JOTA, JOTI dan KDB merangkap Pengerusi Sekretariat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) JOTA Pengakap Negeri Melaka, Nor Azizah Shaari berkata tarikh tersebut telah ditetapkan oleh pengakap dunia yang bakal menyaksikan pengakap di seluruh dunia berhubung mengunakan radio amatur dan melaksanakan pelbagai aktiviti yang dirancang.
“Antara aktiviti yang diatur adalah seperti Radio High Frequency (HF) Contact, Radio Very High Frequency (VHF) Contact, Fox Hunting, Eyeball QSO, Morse Code, Semaphore, Joti contact, Cyber Challenge, Fotografi dan Videografer,” kata Nor Azizah.
Menurutnya, sasaran seramai 2,000 ahli pengakap seluruh Melaka itu terdiri daripada pengakap kanak-kanak, pengakap kelana, muda dan remaja dan akan diadakan di Kem Pengakap, Bukit Katil di sini.
Program tersebut merupakan usahasama Sekretariat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan JOTA Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka bersama Klik Dengan Bijak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Selatan.
“Antara aktiviti pada hari itu nanti ialah perasmian Pusat Komunikasi Pengakap Melaka. Pengakap Melaka telah bermurah hati untuk memberi sebuah rumah kepada Sekretariat ICT JOTA,” kata Nor Azizah.
Tambahnya, rumah tersebut akan dijadikan sebagai Pusat Komunikasi Pengakap Melaka di bawah penjagaan bersama dengan KDB SKMM yang juga merupakan hanya satu seumpamanya di Malaysia.
“Pusat Komunikasi Pengakap Melaka ini akan digunakan oleh seluruh pengakap, dan di dalamnya ada sudut pameran yang dikendalikan oleh SKMM Wilayah Selatan dan ada ruang radio Komunikasi,” jelasnya ketika dihubungi oleh Malaysiaaktif semalam.
“Ruang radio Komunikasi Pengakap ini akan dilengkapkan dengan radio HF untuk berkomunikasi dengan pengakap seluruh dunia dan dikendalikan oleh Sekretariat ICT JOTA.
“Kita buka dua stesen HF dan empat VHF untuk bagi peluang semua merasai bercakap di jaluran dan saya baru sahaja dimaklumkan Callsign untuk Melaka ialah 9M4CCS dan pelancarannya akan turut diadakan nanti,” katanya.
Tinjauan Malaysiaaktif petang tadi di Kem Pengakap menunjukkan kerja gotong-royong telah dimulakan dengan pembersihan rumah dan juga pemasangan antena.
Program berkenaan yang dikendalikan Seketeriat ICT JOTA itu mendapat kepercayaan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Melaka, Mohd Zamir Mohd Sharif dengan dibantu oleh penolong pesuruhjaya negeri dan pesuruhjaya daerah serta persatuan-persatuan kelab radio amatur diantaranya Jalur Selatan Radio Amatur (JASRA), Persatuan Radio Amatur Melaka (PERAKAM) dan Kelana Komunikasi Malaysia (KELKOM).