Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Tindakan Tegas Perlu Dikenakan Ke Atas Pesalah – Md Yunos

By 3 Oktober 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan Foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 3 Okt (Malaaysiaaktif) – EXCO Pelajaran, Pengajian Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi, Datuk Md Yunos Husin meminta Pengarah Pelajaran Negeri untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak yang melakukan kesalahan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang isu seorang pelajar tingkatan satu yang didakwa dirogol di kawasan sekolahnya di Jasin pada Selasa lalu.

Menurutnya, tindakan yang tegas itu perlu diambil kerana ia melibatkan masa depan dan maruah pelajar terlibat yang masih di bangku sekolah.

Foto: Ihsan Facebook Datuk Md Yunos Husin

 

“Ini juga melibatkan isu sensitif. Bagaimanapun, pelajar lelaki terbabit sudah ditangkap manakala pelajar perempuan itu diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan ke-41 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Melaka, semalam.

Selasa lalu, akhbar tempatan melaporkan seorang pelajar perempuan dipercayai dirogol di sebuah bilik stor di sekolahnya oleh dua pelajar lelaki senior berusia 14 dan 15 tahun yang juga merupakan pelajar sekolah yang sama.

Difahamkan, pelajar lelaki itu bertindak menanggalkan pakaian seragam mangsa dan merogolnya tetapi kemudian melarikan diri sebaik perbuatannya disedari seorang kakitangan pentadbiran sekolah.

Mengulas lanjut, Md Yunos juga meminta Pengarah Pelajaran untuk mengambil tindakan yang bersesuaian termasuk terhadap pengetua sekolah berkenaan kerana ia berlaku dalam kawasan sekolah.

“Dalam kawasan sekolah adalah tanggungjawab pengetua, yang menjaga keselamatan itu juga di bawah tanggungjawabnya. Jadi, tiada alasan tidak tahu atau sebagainya,” tegasnya.

Turut hadir, Presiden PVATM Malaysia, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Yang Dipertua PVATM Negeri, Datuk Mohamad Fazil Shafie.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda