Laporan dan foto oleh Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Pasukan pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sekali lagi mengharumkan nama negara apabila menjadi juara dalam pertandingan Debat Parlimen British Asia yang berlangsung di Universitas Prasetiya Mulya, Indonesia dari 7 hingga 13 Oktober lalu.
Kejohanan itu disertai sebanyak 80 pasukan daripada universiti-universiti seluruh Asia.
Pasukan debat UIAM mara ke peringkat akhir diwakili oleh Mubarrat Wassey dan Ameera Natasha Moore yang menerima anugerah tempat pertama dan kedua Pendebat Terbaik keseluruhan kejohanan tersebut.
Manakala bagi Ahmad Syarifuddin Ahmad Fakhri dan Sara Abdul Rahim turut tersenarai menerima anugerah 10 Pendebat Terbaik kejohanan.
Presiden UIAM, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata kejayaan pendebat UIAM ini harus dihargai kerana ia telah mengharumkan nama Malaysia di mata dunia bahawa pendebat universiti tersebut telah saban tahun cemerlang dalam pertandingan debat yang diadakan di luar Negara.
“Berpidato merupakan satu seni kemanusiaan yang agak unik kerana ia berkaitan dengan kecerdasan minda untuk menformulasikan ayat atau klausa serta idea untuk dicernakan sebagai satu pemikiran yang bernas,” ujar beliau.
Tambah beliau, UIAM akan terus mengasah seni pidato dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan juga Bahasa Melayu dan pada tahun hadapan. Pihaknya bercadang untuk menganjurkan pertandingan debat dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sebagai penonjolan yang baharu bidang pidato.
Menerusi kemenangan yang dicipta pada kejohanan tersebut, pasukan debat UIAM telah mencipta hatrik apabila memenangi beberapa pertandingan besar debat pada tahun ini seperti Pertandingan Australasian Intervasity Debating (Australs) pada bulan Julai dan Pertandingan United Asian Debating (UADC) pada bulan Jun lalu.
Sasaran yang terbesar untuk pasukan ini adalah untuk memenangi Pertandingan Debat Universiti Dunia (WUDC) yang bakal berlangsung pada Disember di Belanda.
Pelajar jurusan Ekonomi, Mubarrat Wassey yang dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik kejohanan berkata, beliau tidak menjangka pasukan debat UIAM akan memenangi kejohanan ini dengan cemerlang kerana saingan daripada pendebat universiti lain sangat hebat dan memerlukan tahap intelektual yang tinggi.
“Semasa pertandingan kami perlu fokus, mahir dalam berkomunikasi dan bahasa serta perlu mempunyai pemahaman yang luas dalam bidang sosial, ekonomi dan isu politik kerana setiap pasukan hanya diberi masa antara 15-20 miniti untuk menyiapkan hujah tanpa menggunakan apa-apa bantuan luar termasuk internet,” katanya.
Bagi pelajar tahun akhir jurusan Undang-undang, Ameera Natasha Moore berkata persiapan yang rapi untuk menghadapi kejohanan ini seperti mencari maklumat dari rujukan yang sahih dan berlatih bersama-sama pendebat lain selepas waktu kelas pengajian adalah rahsia kejayaan mereka.
“Kami berlatih pada hari Isnin hingga Rabu selepas habis kelas dan kami perlu membuat persiapan rapi untuk menghadapi kejohanan dunia pada Disember nanti, dijangka menerima cabaran yang lebih hebat kerana ia turut disertai oleh pendebat hebat dari Universiti Oxford dan Universiti Cambridge,” ujar beliau.