
Pihak yang menandatangani MoU menunjukkan dokumen yang menjurus kepada komitmen untuk membantu menggerakkan pengisian TP1B.
Oleh Norila Daud (PAUiTM)
KUALA LUMPUR 18 Nov — Sikap prihatin terhadap kebajikan pendidikan anak bangsa untuk disalurkan ke dalam Tabung Pendidikan 1Bilion (TP1B), tiga badan iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Cetusan Abadi Sdn. Bhd. (CASB) dan Persatuan Universiti Teknologi MARA (PAUiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menguruskan penjualan dinar emas sempena sambutan ulang tahun ke-60 UiTM.
Majlis menandatangani MoU itu disempurnakan Presiden Persatuan Alumni UiTM (PAUiTM) merangkap Timbalan Presiden TP1B, Datuk Zaini Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Cetusan Abadi Sdn. Bhd., Hasril Noordin dan Pengarah Kanan, Pengurus Strategik dan Perbendaharaan YaPEIM, Parihah Hasan.
YaPEIM melalui anak syarikatnya YaPEIMGold akan menguruskan aspek pemasaran dan penjualan dinar emas itu sementara, Cetusan Abadi sebagai syarikat pengeluar produk tersebut dan PAUiTM sebagai penggerak program ini.

Penolong Pengurus Unit Pembekalan YaPEIMGold, Noor Idianna Kamaruzaman sedia membantu pelanggan yang memerlukan maklumat mengenai dinar emas.
Menurut Ketua Pengarah YaPEIM, Datuk Abibullah Samsudin walaupun dinar emas yang diperkenalkan ini bersifat peringatan, inovasi ini wajar dilihat daripada perspektif jangka masa panjang yang memungkinkan penggunaannya dapat dimanfaatkan.
Beliau berkata, inovasi bukan hanya terkait dengan reka bentuk produk tetapi merangkumi proses yang menyeluruh termasuk daripada segi penggunaan dalam organisasi yang memberi keuntungan kepada semua pihak.
“Sejajar dengan objektif YaPEIM dalam melestarikan usaha generasi berilmu, setiap pembelian dinar emas UiTM, sebahagiannya akan disalurkan ke Tabung TP1B anjuran PAUiTM yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2015.
“Tabung ini diwujudkan bagi tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa dan penyelidikan ilmiah. Pihak YaPEIM melihat usaha ini mampu menjadi sumber kewangan besar yang membela anak bangsa terus maju dalam bidang pendidikan, seterusnya mewujudkan kesinambungan pendidikan tinggi Bumiputera bagi mengisi pasaran tenaga profesional dan separa profesional,” katanya dalam ucapan ringkas sempena majlis menandatangani MoU itu.
Turut hadir Pengarah Urusan Zikay Group, Datuk Mohd. Khay Ibrahim, yang juga Ahli Pemegang Amanah TP1B.
Dinar emas ‘commemorative’ itu boleh dimiliki dengan harga RM260 untuk suku dinar (1.06g); RM500 setengah dinar (2.15g); RM930 untuk 1 dinar (4.25g); RM1,800 untuk 2 dinar (8.5g); RM4,500 untuk 5 dinar (21.25g) dan RM7,000 untuk 8 dinar (34g).