Skip to main content
Berita TempatanSabah

[VIDEO] Kapal Maritim Kuraman Diabadikan di Dasar Laut

By 18 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
  Oleh Asmidar Zainol / Foto & Video: Azman Jumat (Sabah)

KOTA KINABALU, 18 Nov (Malaysiaktif) – Setelah 52 tahun berbakti menjaga keselamatan perairan negara, Kapal Maritim (KM) Kuraman kini meneruskan baktinya di dasar laut perairan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR), Sabah.

Menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Seri Masidi Manjun, kapal tersebut telah digunakan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2007.

“Kapal ini telah melalui pelbagai peristiwa bersejarah sepanjang masa perkhidmatannya dan merupakan sesuatu yang patut diingati.

“Saya menyokong kapal ini diabadikan di dasar laut TTAR agar kekal sebagai ikon bersejarah dan menjadi tarikan pelancongan yang baharu,” katanya semasa upacara penenggelaman KM Kuraman pagi semalam.

 

Tambahnya, kapal berkenaan turut akan menjadi ekosistem baharu di dasar laut dan habitat pertumbuhan terumbu karang pada masa depan.

“Ini akan menarik pelbagai hidupan marin dan seterusnya menjadi kawasan selaman (wreck dive) pertama di dalam kawasan taman di negeri ini khususnya di TTAR.

“Kapal tersebut ditenggelamkan pada jarak ke dalaman 20 meter dan tidak mengganggu perjalanan lalu lintas kapal-kapal lain serta memudahkan para penyelam untuk menyelam di kawasan tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Wilayah APMM Wilayah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Mohd Zubil Mat Som berkata, kapal tersebut merupakan hadiah kepada kerajaan negeri melalui KePKAS yang merupakan simbolik kepada penamatan perkhidmatan kapal berkenaan secara rasmi.

SIMBOLIK... Jamili (tiga dari kiri) menerima tanda nama KM Kuraman daripada Zubil (tiga dari kanan) sebagai tanda penyerahan kapal berkenaan kepada Taman-Taman Sabah, di saksikan Masidi (tengah) dan tetamu kehormat lain.

SIMBOLIK… Jamili (tiga dari kiri) menerima tanda nama KM Kuraman daripada Zubil (tiga dari kanan) sebagai tanda penyerahan kapal berkenaan.

“Kapal yang dinamakan bersempena dengan nama sebuah pulau di Labuan ini telah berkhidmat selama lebih kurang 52 tahun dan saya berasa amat sedih kerana terpaksa berpisah dengan salah sebuah aset kapal maritim Malaysia yang cukup berjasa dan penuh dengan nilainya tersendiri.

“Perasaan gembira pula atas legasi khidmatnya yang terus menabur bakti dan jasa dalam memperkayakan dan melindungi hidupan marin di perairan Sabah.

11

Foto: gil woolley/scubazoo.com

Kapal Maritim Kuraman ditenggelamkan berhampiran Pulau Mamutik di antara Pulau Manukan dan Pulau Sulug, Sabah dan dijangka sedia untuk diterokai selewat-lewatnya enam bulan dari tarikh ditenggelamkan.

KM Kuraman seberat 120 tan tersebut mempunyai keluasan 31.4 meter (panjang) dan tujuh meter (lebar) telah dibina pada 1960.

KM Kuraman merupakan antara 15 kapal dalam kelas kapal Sipadan dibawa oleh kerajaan Malaysia pada zaman British untuk menjaga keselamatan perairan di negara ini.

Sehingga kini, selain KM Kuraman, empat daripada 15 kapal berkenaan telah ditenggelamkan di Semenanjung Malaysia (3 unit) dan Labuan (1 unit).

Seramai 100 tetamu daripada pelbagai agensi diberi peluang untuk menyaksikan upacara bersejarah tersebut.

-SF

Tinggalkan komen anda