Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Berat Badan Duta Kelulut Walk, Sabri Ali Turun 5kg

By 28 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
Ketibaan Duta Kelulut Walk, Sabri Ali di Dataran Keris, Alor Gajah.

 

 Laporan / foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 28 Nov (Malaysiaaktif) — Sepanjang penglibatan beliau sejak awal Oktober lalu, Duta Kelulut Walk, Sabri Ali, 54, telah mencatatkan penurunan berat badan lebih lima kilogram daripada berat asal 70 kg.

Bapa kepada tujuh anak dan 12 cucu dari Kemaman, Terengganu itu memulakan latihan untuk melakukan Kelulut Walk 2016 sejak 2014 bagi memastikan tenaganya konsisten.

Kelmarin, Sabri Ali atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Sabri meneruskan perjalanan ke negeri ini melalui laluan ke-44 sejauh 43.9 kilometer dari A’Famosa, Banda Hilir menuju ke Dataran Keris, Alor Gajah.

7f7a2121-e2a5-43e8-be7c-85cd24d00ea1

Pelepasan Duta Kelulut Walk, Sabri Ali oleh Shabery Cheek.

 

Ketibaan beliau pada pukul 4.20 petang disambut oleh Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Rusdan Abd Talib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Norpipah Abdol.

Beliau yang perlu menamatkan perjalanan sejauh 2,000 kilometer telah melalui 43 daripada  49 laluan di 12 negeri, iaitu Selangor, Sarawak, Sabah, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Kelulut Walk 2016 merupakan program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang bertujuan mempromosikan madu kelulut sebagai pemakanan luar biasa (superfood) serta menggalakkan pengambilan madu dalam kalangan rakyat.

346f67ec-ffc6-4051-8528-02f7bdbeb0b1

Dari kiri Ahmad Shabery, Sabri sedang melakukan senamrobik sebelum acara pelepasan.

 

Mengambil sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortinultur dan Agro-Tourism, MAHA 2016, penjelajahan ini berlepas dari Taman Botani Shah Alam pada 8 Oktober lalu dan akan berakhir pada 4 Disember ini di Pusat Pameran Taman Agro Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang Selangor.

Sabri yang meneruskan perjalanannya ke Negeri Sembilan semalam  akan mengakhiri  penjelajahan 55 hari itu di Sepang, Selangor pada Disember untuk melayakkan diri dicatatkan ke dalam The Malaysia Book of Records sebagai pencapaian Pejalan Kaki Solo Terjauh.

Sesi pelepasan bendera bagi fasa Melaka disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Negeri Melaka, Datuk Hasan Rahman pada pukul 7.43 pagi.

“Saya amalkan pengambilan madu kelulut sebagai makanan tambahan dan kesihatan setiap hari, begitu juga sepanjang misi berjalan kaki ini. Jika tidak, minum air masak yang banyak pun baik,”kata Sabri.

“Pada usia sebegini, saya tidak boleh lagi melakukan aktiviti ekstrem, jadi berjalan kaki secara solo ini merupakan aktiviti terbaik dan amat sesuai untuk saya jayakan,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis yang sama Ahmad Shabery berkata, setakat ini sudah terdapat lebih 1,000 pengusaha madu lebah, termasuk pengusaha madu kelulut dengan pengeluaran madu sebanyak 143 metrik tan bernilai kira-kira RM11.3 juta.

Tambahnya, kementerian bercadang mengangkat madu kelulut ini sebagai bahan premium negara bagi membantu pengusaha.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda