Persembahan kebudayaan tempatan oleh kumpulan muzik asli.
Oleh Asmidar Zainol / Foto Jeffren Malaning (Sabah)
KOTA KINABALU, SABAH, 28 November (Malaysiaktif) – Program’Culture Blizt’ membantu mempromosikan kebudayaan dan kesenian masyarakat tempatan dan Malaysia amnya kepada para pelancong.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Dasar Kebudayaan KPK, Zubaidah Mukhtar berkata, program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peserta dan juga pelancong.
“Program ini julung kali diadakan di Sabah dan?ia adalah program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di bawah Pelan Transformasi kementerian ini.
“Kita bersyukur kerana ia mendapat sambutan yang hangat bukan sahaja daripada peserta iaitu pempamer tetapi juga orang ramai yang terdiri daripada pelancong luar dan tempatan.
“Kita memilih Sabah sebagai lokasi keempat kerana Sabah kaya dengan etnik budaya yang boleh diketengahkan kepada pelancong,” katanya kepada pihak media di program berkenaan semalam di Pusat Membeli Belah Center Point.
Bagi pelajar Sarjana Keusahawanan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Edwan Abo, 24, peluang menyertai program seumpamanya ini amat ditunggu-tunggu.
“Saya amat teruja dapat menyertai program kebudayaan ini memandangkan saya juga merupakan salah seorang aktivis kebudayaan.
“Selain membeli belah barangan kraftangan, saya dan rakan-rakan juga berpeluang untuk belajar cara menganyam bakul dan menyertai acara menyumpit.
“Kami juga dijemput untuk bersama-sama menari bersama penari kebudayaan dan ia merupakan pengalaman yang amat berharga sekali,” katanya ketika ditemubual oleh pihak media.
Sementara itu, pemilik Wakid Handicrafft Enterprse, Rembini Suanti, 39 berkata, peluang yang diberikan oleh Lembaga Kraftangan Malaysia untuk membuka booth pameran di program berkenaan amat dihargai.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak KPK di atas penganjuran program ini kerana melalui program Culture Blizt, saya dapat mempromosikan hasil kraftangan saya kepada orang ramai.
“Syukur, hasil jualan saya agak meningkat dan memuaskan kerana ramai pengunjung yang datang sejak pameran dibuka sejak 12 November lalu.
“Saya amat berharap program anjuran KPK ini adakan diteruskan pada masa hadapan dengan kekerapan dua kali setahun agar kami dapat memperkenalkan hasil kraftangan kami,” ujarnya.
Selain pameran, program sebentar tadi turut dimeriahkan dengan persembahan Kumpulan Muzik Asli dan tarian tradisi berkonsepkan “Malaysia Truly Asia” selain peragaan produk tekstil Malaysia seperti batik, manik, demostrasi mencanting batik.
Program Culture Blizt berlangsung sehari, hari ini manakala pameran kraftangan akan berterusan sehingga 30 November ini.