Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraEkonomiHomeKedahViral

Gigih Usaha Ladang Kelulut Walaupun Sangat Mencabar

By 10 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan

BALING 11 Nov (Malaysiaaktif) – Kegigihan Mohd Fadil b Yaakob, 66 dan isterinya Wan Norsiah Wan Salim, 56, mengusahakan ternakan kelulut madu hampir menjadi sia-sia apabila 25 dari 30 buah sarang kelulut yang dibelinya dicuri orang.

Warga emas yang memulakan ternakan ini sejak Disember 2014 di Ulu Legong, Baling ini, bagaimanapun nekad meneruskan usaha walaupun menempuh pelbagai cabaran.

Menurut Fadil, pada awalnya dia membeli sebanyak 30 buah sarang kelulut dengan harga RM500 setiap satu kerana pada ketika itu pasaran dan harga kelulut amat baik. Dia juga memasang pagar di sekeliling kawasan sarang kelulutnya dengan harga RM6,000 hingga menjadikan jumlah permulaan keseluruhannya  RM 21,000.

cc9c0c94-f84a-4889-b446-4665f848bf61

Pada awal usahanya, hasil agak lumayan kerana dia mendapat sehingga 20 kilogram madu sebulan. Tidak lama kemudian dia mendapati sarangnya kurang dua dan dalam tempoh beberapa bulan pagarnya ditebuk di tiga tempat dan sarang kelulutnya hanya tinggal lima.

Selain kecurian, kelulut juga mempunyai banyak musuh, antaranya semut, lipas, ulat putih dan cicak. Cicak merupakan musuh paling bahaya kerana ia memakan ibu atau permaisuri kelulut.

Setelah membuat laporan polis dan berjumpa dengan golongan penagih dadah untuk menceritakan masalahnya, tiada lagi kecurian yang berlaku.

Kini dia hanya mampu mendapat sebanyak empat kilogram madu sebulan semasa musim pokok-pokok buah-buahan, seperti rambutan, langsat dan manggis berbunga. Hasil yang diperoleh berkurangan apabila tiba musim buah dan madunya juga bertukar menjadi masam. Madu dijual dengan harga RM80 setiap kilogram.

ef838ee4-11c4-4c54-9b56-536419de72c4

Isterinya membantu menjana pendapatan keluarga dengan mengambil upah menjahit telekung dan baju koporat.

 

Merasai keadaan yang tidak begitu menggalakkan, isterinya membantu menjana pendapatan keluarga dengan mengambil upah menjahit telekung dan baju koporat setelah mendapat latihan berserta bantuan tiga buah jahit bernilai RM10,000 daripada pihak  Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Daerah Baling.

Menurut Norsiah, setiap telekung yang dipesan dijual dengan harga RM80 termasuk pos dan dalam sebulan dia mampu menyiapkan lebih 100 helai telekung, selain mengambil tempahan baju koporat daripada pihak swasta dan kerajaan dengan dibantu oleh anaknya.

Sementara itu, pegawai KEDA Daerah Baling, Hashimah Umar berkata, KEDA memberikan bantuan peralatan kepada pemohon yang layak, iaitu daripada kalangan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Sebagai contoh,  jika pemohon mengusahakan pembuatan muruku, kerepek, baulu, atau baju, pihak KEDA akan membantu menyediakan peralatan, seperti mesin, kuali menggoreng, dapur dan sebagainya.

Selain itu, KEDA juga memberikan bantuan rumah percuma bernilai RM44,000 tanpa perlu membayar balik kepada pemohon yang layak daripada golongan miskin tegar.

Bagaimana pun, menurut Hashimah, buat masa ini bantuan ditangguhkan kerana tiada peruntukan.

Fadil seterusnya menasihatkan mana-mana individu yang ingin memulakan ternakan kelulut supaya memulakan secara kecil-kecilan.

Fadil kini berusaha memperbanyakkan sarang kelulutnya dengan kaedah pecah koloni, iaitu membawa ibu atau permaisuri baharu ke sarang yang dibina baharu.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda