Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Portal Kuota Unit Bumiputera Atasi Masalah Kurang Sambutan

By 11 November 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan dan foto oleh: Mohd Anuar Ibrahim dan Saharuddin Othman

KUALA LUMPUR, 11 November 2016 (Malaysiaaktif) – “Sepanjang 2016, dianggarkan sebanyak 372 unit kuota bumiputera telah dilepaskan untuk dijual kepada pembeli bukan bumiputera walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak pemaju seperti mengiklankan di dalam akhbar-akhbar utama”.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian semasa perasmian Majlis Pelancaran Portal Kuota Bumiputera di Lobi Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, semalam.

Ujar beliau, “Banyak usaha telah dilaksanakan oleh pihak DBKL termasuk dari saya sendiri dalam menggesa pemaju mempercepatkan proses pembinaan unit bumiputera tetapi apabila unit bumiputera tersebut berjaya disiapkan, masalah menjualnya pula timbul berikutan kurang promosi yang dilaksanakan”.

Tambah beliau lagi, “Apabila masalah ini berlaku, rakyat menuduh Kerajaan tidak prihatin terhadap kebajikan bumiputera terutamanya mereka yang menetap di bandar sebaliknya orang ramai tidak mengetahui akan kewujudan unit ini yang dijual pada harga sekurang-kurangnya lima (5) peratus lebih murah dari harga pasaran biasa”.

“Justeru, portal Kuota Bumiputera ini dibangunkan bertujuan untuk memberi maklumat serta menghebahkan kepada orang ramai berhubung unit-unit kuota bumiputera yang masih ada dan belum terjual di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” jelas beliau lagi.

Portal ini turut mempunyai maklumat berhubung lokasi, saiz, harga dan maklumat berkaitan pemaju yang boleh membantu serta memberikan maklumat tambahan kepada orang ramai yang ingin membeli unit-unit tersebut.

Portal yang direka mesra pengguna ini boleh dicapai menerusi laman sesawang www.dbkl.gov.my/pkub dan boleh diakses di mana-mana tempat jua.

Majlis Pelancaran ‘Portal Kuota Bumiputera’ ini dihadiri kira-kira 100 orang pemaju dan turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr. Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Tinggalkan komen anda