
Laporan dan foto oleh Zaman Aziz (Sepang)
BANGI, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Darul Quran, yang ditubuhkan pada 1966 merupakan sebuah institusi yang telah melahirkan ribuan muhfaz, alhafiz, ilmuan dan profesional Islam.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, melalui komponen kurikulum bersepadu tahfiz di bawah Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN), institusi tahfiz terus subur dan diperkasakan.
Beliau berharap, melalui simposium seperti ini dapat menghasilkan input-input baru bagi merealisasikan hasrat kerajaan membangunkan institusi tahfiz melalui DPTN.
“Kerajaan menyediakan ruang seluas-luasnya kepada institusi tahfiz di negara ini. Malah kerajaan juga berhasrat untuk menwujudkan pengajian tahfiz di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Melalui komitmen itu Ahmad Zahid meluluskan peruntukan sebanyak RM35 juta untuk meningkatkan pembangunan Darul Quran, dan beliau juga berjanji untuk menaiktaraf Darul Quran sebagai sebuah universiti penuh pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Tahfiz Al Quran peringkat Antarabangsa yang diadakan sempena Sambutan Jubli Emas Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi.
Turut hadir Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dasuki dan Ketua Pengarah JAKIM Tan Sri Datuk Haji Othman Mustapha.
Simposium yang dianjurkan bersama oleh Centre of Quran Research (CQR) University Malaya, Kuala Lumpur ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan disertai lebih 400 peserta dari institusi tahfiz seluruh negara serta antarabangsa.