Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurViralWilayah Persekutuan

Industri Perbankan, Perumahan Mangsakan Pengguna

By 24 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh  Mohd. Anuar Ibrahim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Malaysiaaktif) – “Semakin hari semakin banyak hak pengguna dilenyapkan dengan cara terhormat. Rata-rata pengguna rasa amat teraniaya berikutan rumah tidak siap, tetapi pengguna pula yang dimufliskan.”

Kenyataan tersebut merupakan aduan yang sering diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di samping aduan kehilangan perlindungan dan keselamatan pengguna apabila membeli rumah yang masih belum siap.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang ditemui semasa sidang media khas di Kondominium Villa Puteri di sini hari ini berkata, “apabila berlaku kes rumah yang tidak siap, arkitek mahu pun peguam tidak pernah dipersalahkan atau dipertanggungjawabkan sedangkan semasa proses pembelian rumah, jaminan diberikan oleh peguam tetapi pengguna pula yang dimufliskan apabila kes dibawa ke Mahkamah Persekutuan mahupun Mahkamah Rayuan.

“Saya berharap sidang media hari ini dapat menarik perhatian pihak berkenaan kerana isu ini amat besar memandangkan pengguna yang berasa teraniaya akan menyalahkan pihak kerajaan. Perkara ini telah pun terbukti di Selangor di mana terdapat banyak kes pengguna teraniaya semasa membeli rumah,” katanya lagi.

Beliau berharap isu ini mendapat perhatian Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Setiausaha Agong PPIM, Abdul Kareem Said Khadaided menjelaskan, “terdapat kes yang apabila dibawa ke Mahkamah, siasatan mendapati pemaju terlibat tidak mempunyai lesen, manakala arkiteknya pula tidak mempunyai sijil sedangkan pihak bank telah membuat pembayaran.

“Apabila berlaku masalah, bank tetap mengambil bayaran daripada pengguna justeru menyebabkann pengguna terpaksa menanggung beban kewangan yang tidak sepatutnya,” ujar beliau lagi.

“Selain itu, terdapat kes di mana Mahkamah Rayuan menetapkan pihak bank tidak perlu menuntut pembayaran daripada pemaju dan peguam terlebih dahulu sebelum menuntut daripada pembeli. Semakan PPIM dalam tempoh 10 tahun, hanya terdapat satu kes berkaitan perumahan di mana pihak mahkamah mendakwa pihak bank, manakala kes selebihnya, bebanan diletakkan di atas bahu pengguna sendiri,” tambahnya lagi.

Dalam tempoh tiga tahun bermula 2014 hingga 2016, PPIM menerima lebih 500 aduan daripada pengguna berikutan rasa teraniaya dengan tindakan pihak bank yang menyenaraihitamkan mereka dan majoriti pengadu yang diisytiharkan muflis kesan daripada sikap pihak bank ini adalah golongan muda yang baharu berkahwin.

 

-SH/AAS

Tinggalkan komen anda