Skip to main content
HomeViral

Anggota Penguat Kuasa JPJ Maut Digilis Treler Di Setia Alam

By 23 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Foto: Media Sosial

 

SHAH ALAM, 23 Nov — Seorang anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor maut digilis sebuah treler dalam satu kejadian berhampiran Plaza Tol Setia Alam menghala Setia Alam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Mohd Ridzuan Md Yusop, 34, digilis kenderaan itu semasa ia dipercayai sedang bergerak perlahan memasuki semula lebuh raya itu setelah berhenti di lorong kecemasan untuk membuat panggilan telefon.

“Ketika kejadian, mangsa sedang menjalankan operasi rutin JPJ bersama tiga lagi anggota dan beliau baru sahaja memulangkan semula lesen memandu pemandu sebuah lori kontena lain yang ditahan di tepi lebuh raya itu untuk pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati treler itu berhenti di belakang lori kontena bukan untuk pemeriksaan tetapi kerana pemandunya sedang membuat satu panggilan telefon berhubung penghantaran barang yang dibawanya.

“Pemandu treler itu dipercayai sedang memandang ke kanan jalan untuk memandu keluar dan mungkin tidak menyedari mangsa berada di hadapan sebelah kiri lori lalu melanggarnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shafien berkata tiga lagi rakan mangsa tidak mengetahui berlakunya kemalangan berkenaan kerana keadaan lebuh raya yang bising dan jarak mangsa dengan kumpulan itu adalah kira-kira 30 meter, sehingga mereka dimaklumkan saksi kejadian.

Beliau berkata Mohd Ridzuan yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

Pemandu lori treler itu, lelaki tempatan berumur 68 tahun, kini direman mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata Mohd Ridzuan telah berkhidmat selama lima tahun di JPJ Selangor dan merupakan anggota yang cemerlang dalam tugas serta amat berdisiplin.

Beliau berkata isteri mangsa yang hamil enam bulan di Melaka telah dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Pasangan berkenaan turut mempunyai seorang anak perempuan berumur empat tahun.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron yang menziarahi jenazah mangsa di Jabatan Forensik Hospital Shah Alam berkata jenazah mangsa akan dikebumi di Bukit Rambai, Melaka.

“Seluruh warga JPJ berasa amat sedih dengan kejadian yang tidak dijangka ini…semua anggota dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati menjalankan tugas,” katanya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda