Artikel oleh: Mohd Faizal Mansor
Foto oleh: Jeffrey Nian
LABUAN, 25 Nov (Malaysiaaktif) – Masyarakat perlu bijak memilih dan memastikan ubat-ubatan yang dibeli dari luar, mempunyai kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ujar Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari pada Majlis Dialog dan Apresiasi 2016 bersama media di salah sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Ini agar mereka terhindar dari komplikasi – komplikasi kesihatan dari ubat-ubatan yang dibeli, Ismuni menambah lagi.
Beliau amat berterima kasih dengan peranan media dalam membantu dalam menyebarluaskan hasrat KKM dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya membeli produk -produk kesihatan yang berdaftar dengan pihak KKM.
Kerjasama pihak media bersama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan dalam memupuk kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan dalam kalangan masyarakat dapat memberi impak yang besar.
Menyedari hakikat ini, tanpa peranan media dalam menghebahkan kempen -kempen berkaitan kesihatan, sukar bagi Jabatan Kesihatan Labuan untuk memupuk masyarakat menjadi masyarakat yang sihat dan bebas penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.
Ismuni berkata, dengan perkembangan teknologi perubatan yang semakin maju dan pesat, setiap masyarakat di negara ini berhak menerima perkhidmatan kesihatan yang maksima seperti yang termaktub di dalam Konvensyen Geneva.
Namun dengan perkembangan teknologi perubatan yang semakin maju dan pesat, semakin banyak ubat-ubatan serta produk-produk kesihatan di jual meluas secara talian internet mahupun di premis-premis perniagaan, kata Ismuni lagi.
Beliau optimis masyarakat di Labuan juga sudah mula sedar tentang pentingnya menjaga kesihatan melalui promosi-promosi dan hebahan-hebahan melalui media cetak dan elektronik serta turut menghargai kerjasama-kerjasama dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan lain bersama jabatannya dalam strategi lautan biru atau (NBOS).
Turut diraikan juga komuniti COMBI (Communication for Behaviourial Impact) kelolaan KKM di Labuan serta Kelab Doktor Muda selain penyampaian sijil kepada wakil-wakil media cetak dan elektronik.
Presiden Pergerakan Media Labuan Jainuddin Djimin berkata, beliau mewakili pihak media di Labuan berterima kasih di atas penghargaan yang di berikan oleh pihak jabatan kesihatan labuan melalui program tersebut.
Sesungguhnya para pengamal media labuan sentiasa memberi komitmen dalam memberikan liputan bagi setiap majlis- majlis yang dianjurkan oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang ada di labuan ini, ujar beliau lagi.
Menurut salah seorang ahli COMBI, Hana Rusli, 45, beliau selaku ahli COMBI turut menyokong hasrat kerajaan dalam mempertingkatkan mutu kesihatan ahli masyarakat melalui pelbagai program yang dijalankan seperti kempen gotong-royong dan memberi risalah-risalah mengenai penyakit denggi dan malaria.
Bantuan dari pihak media juga perlu bagi mencetus kesedaran masyarakat bagi merealisasikan masyarakat Malaysia yang sihat dan maju, tambah Hana lagi.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Datuk Bashir Haji Alias