Oleh Asmidar Zainol & Johnny Joklis (Sabah)
KOTA KINABALU, 25 November (Malaysiaktif) – Jaga akal dan adab dengan guru, itu pegangan pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri Toh Puan Hajjah Rahamah, Kinarut, Mohammad Allif Justin,16, antara penerima keputusan cemerlang (Mumtaz) Sijil Menengah Ugama (SMU) 2016/1438H Negeri Sabah.
Alif yang ditemui pihak media berkata, pegangan tersebut merupakan nasihat yang diberikan oleh ibu bapanya kepada beliau dan adik beradiknya yang lain.
“Ibu bapa saya sentiasa mengingatkan kami agar sentiasa menjaga akal fikiran agar tidak membawa kepada perkara-perkara yang negatif, sentiasa memberi perhatian dalam kelas serta sentiasa menjaga adab dengan guru.
“Sebagai seorang pelajar seharusnya kita menghormati guru-guru kerana mereka ibarat ibu bapa di sekolah dan juga untuk mendapatkan keberkatan daripada ilmu yang dicurahkan.
Bercita-cita menjadi usahawan Islam berjaya, anak kepada pesara pegawai trafik udara dan guru pemulihan khas ini berharap dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar dalam bidang syariah selepas SPM nanti.
Bagi Humaira Nurhasan, 16, keputusan Sijil Menengah Ugama (SMU)nya adalah sesuatu di luar jangkaan.
“Syukur dan Alhamdulillah kerana Allah masih sayangkan saya di atas keputusan cemerlang ini.
“Saya agak terkejut kerana ketika peperiksaan percubaan, saya hanya mendapat Baik (Jayyid) berbanding dengan keputusan hari ini.
Ditanya bagai mana beliau bangkit mendapatkan keputusan cemerlang tersebut, Humaira berkongsi tips pembelajarannya.
“Yang paling penting jangan bertangguh kerja dan perlu membuat latihan pada setiap hari,” jawabnya ringkas.
Bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Al Azhar, anak pasangan Ustaz, Ustazah ini mendapat 11 Mumtaz dan 1 Jayyid Jiddan.
Sementara itu, anak pemandu Teksi Tawau, Putri Nur Fazillah Asman, 11, dinobatkan sebagai salah seorang pelajar tebaik Sijil Rendah Ugama (SRU) 2016/1438H.
Memperolehi 90 peratus markah, Putri Nur Fazillah mendahului 160 calon yang mendapat keputusan Cemerlang (Mumtaz) dalam peperiksaan SRU baru-baru ini.
“Saya berasa amat gembira kerana tidak menyangka akan mendapat keputusan yang begitu baik dan sangat bersyukur dengan keputusan tersebut.
“Kejayaan ini merupakan hasil usaha dan dorongan daripada ibu bapa serta guru-guru yang banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya sepanjang lima tahun ini,”ujarnya.
Anak bongsu dari dua-beradik yang bercita-cita menjadi ustazah ini, turut berkongsi rahsia kejayaannya.
“Pada kebiasaannya saya akan menumpukan perhatian di dalam kelas dan mengambil catatan semasa guru mengajar.
“Saya juga sering mengadakan ulang kaji dengan sahabat baik, Nur Damia Hasanuddin yang juga merupakan salah seorang pelajar cemerlang hari ini.
“Kami sering mengadakan ulang kaji di rumah saya dan beliau juga banyak membantu memberikan nota-nota guru sekiranya saya tidak dapat hadir ke kelas,” katanya lagi.
Sementara itu, rakan baik Putri, Nur Damia Hasanuddin, 11, turut melahirkan rasa syukur kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
“Saya amat bersyukur kerana memperoleh keputusan yang cemerlang ini. berada di tempat ke-tujuh pelajar terbaik di seluruh Sabah dalam SRU, menjadi pembakar semangat kepada saya untuk menduduki UPSR tahun hadapan,” katanya gembira.
Sementara itu, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif berkata, pada tahun ini kualiti kepada keputusan kedua-dua peperiksaan sijil meningkat berbanding tahun lepas.
“Pihak kerajaan dan jabatan akan sentiasa komited dan beriltizam untuk meningkatkan kualiti pendidikan pelajar SRU dan SMU melalui penyediaan kemudahan-kemudahan pembelajaran, infrastruktur, prasarana serta latihan kemahiran kepada guru-guru Sekolah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Agama Negeri.
“Ini adalah untuk membina kecekapan (efficiency) dan memastikan keberkesanan (effectiveness) proses pendidikan,” beliau berkata demikian semasa mengumumkan keputusan peperiksaan SMU dan SRU Tahun 2016 di Wisma MUIS pagi tadi.
Pada tahun ini, seramai 4,928 calon menduduki peperiksaan SRU dengan 4,353 lulus pelbagai pangkat. Manakala, 316 daripada 343calon SMU juga lulus dengan pelbagai pangkat.