
Oleh: Mohd Faizal Mansor / Foto Oleh : Jeffrey Nian
LABUAN, 9 Nov (Malaysiaaktif) – Golongan belia di Labuan menolak budaya rasuah. Ini terbukti bila golongan ini turut sama menyertai konvoi motorsikal berkuasa tinggi ” Anti Corruption Ride” 2016 bagi kempen membanteras rasuah sempena Hari Rasuah Antarabangsa 2016. Ini dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd, Dato Sri Haji Mohd Alias Abd Rahman ketika berucap merasmikan konvoi tersebut di Perkarangan Dewan Labuan Liberty Port Management hari ini.
Sewajarnya pembabitan golongan belia dalam membantu pihak kerajaan khususnya pihak SPRM dalam membantu menyebarkan maklumat menerusi konvoi bermotorsikal amatlah di hargai dan seterusnya membantu kempen terhadap anti rasuah, ujar beliau.
Ujarnya lagi, pembabitan masyarakat dalam menyokong pembanterasan gejala rasuah amat perlu dalam menjamin kesejahteraan dan ekonomi negara ini terus maju ke hadapan.
Semalam Bandar Labuan gegar gempita dengan deruman konvoi motorsikal berkuasa tinggi ” Anti Corruption Ride” 2016 anjuran bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (SPRM) dan Labuan Liberty Port Management Sdn.Bhd.
Matlamat konvoi ini ialah untuk membawa mesej anti-rasuah serta memberi maklumat mengenai bahayanya gejala rasuah kepada penduduk sekitar Pulau Labuan. Program ini juga bertujuan merakyatkan SPRM dapat direalisasikan iaitu mendekati masyarakat akar umbi.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Haji Isli juga turun padang dan turut menyertai konvoi tersebut yang bermula dari Perkarangan Dewan Labuan Liberty Port Management hingga ke Layang-layangan yang jarak lebih kurang 15 kilometer.
Justeru Rozman berharap konvoi tersebut mampu membawa mesej kerajaan terus ke hati masyarakat dan seterusnya membawa kesedaran tentang pentingnya budaya integriti untuk membendung gejala rasuah.
Menurut salah seorang belia yang mengikuti konvoi tersebut, Aliff Abd Jalil, 23, beliau bersama rakan- rakan belia yang lain amat teruja untuk turun padang membawa mesej anti rasuah kepada masyarakat Labuan.
Menurutnya,sebagai belia, beliau juga mengambil tahu betapa bahayanya gejala rasuah kalau diamalkan akan membantutkan kemajuan sesebuah negara disamping nasib rakyat tidak akan terbela.
Terdahulu turut diadakan Forum Pencegahan Rasuah kepada anggota dan pegawai pasukan berkuasa di Labuan serta warga kerja Labuan Liberty Port Management.
Turut hadir, Pengarah SPRM Labuan, Abu Talib Othman dan seramai 80 penunggang motorsikal berkuasa tinggi dan rendah yang turut serta dalam konvoi tersebut.
- MRR