Skip to main content
Home

My Care Perlu RM100,000 Untuk Makanan Mangsa Gempa Bumi

By 10 Disember 2016Tiada komen1 minit bacaan
Foto: AP

 

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mensasarkan mendapatkan bantuan kewangan RM100,000 bagi menampung perbelanjaan untuk pembelian makanan asas mangsa gempa bumi di Aceh.

Pengerusi MyCARE Prof Madya Dr Hafdizi Mohd Noor berkata menurut laporan Exco dalam pemerintahan Aceh, keperluan utama diperlukan ketika ini ialah makanan asas seperti beras, minyak masak dan telur.

“Setakat ini, RM14,000 sudah disalurkan bagi bantuan makanan asas tersebut. Selebihnya, akan diteliti bantuan apa lagi yang diperlukan bila kami tiba di Aceh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Aceh digemparkan dengan gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter.

Sehingga Khamis lepas, 102 orang dilapor terkorban.

Dr Hafdizi yang juga Naib Pengerusi South-East Asia Humanitarian Committee (SEAHUM) di Indonesia berkata Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar dan seorang lagi wakil MyCARE telah berlepas ke Aceh antara lain bagi menghantar bantuan kewangan.

Beliau berkata, bagi orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan atas nama ‘Humanitarian Care Malaysia Berhad’ melalui akaun berikut Maybank Islamic (5642 5856 0698); CIMB Islamic (8602 13 5592) dan Bank Islam (1209 2010 0349 04).

 

– Bernama

Tinggalkan komen anda