Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Ithtifal Lil Atfal MTMZA Berakhir Dengan ‘Airmata Rohingya’

By 10 Disember 2016Disember 12th, 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Muhammad Rizal Redzuan

PUTRAJAYA, 10 Dis (Malaysiaaktif) – Kezaliman ke atas masyrakat etnik Rohingya di Myanmar menjadi agenda penutup tirai program Ithtifal Lil Atfal di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA).

Bagi pihak masjid tersebut aktiviti untuk mengimrahakan masjid di luar waktu solat bukan sekadar mengadakan acara-acara rekreasi, bersukan dan kelas-kelas bagi mendalami pemahaman agama. Ia juga dihidupkan dengan penonjolan rasa keprihatinan terhadap kesengsaraan saudara-saudara Islam di wilayah lain.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam MTMZA, Hamdan Muhamad, sikap murni ini telah mencetuskan inisiatif  “Airmata Rohingya” yang merupakan slot dengan pengisian solat hajat, doa, serta tazkirah sebagai pendirian solidariti dengan masyarakat yang dimangsakan oleh kerajaan Myanmar itu.

Selain itu, Hamdan berkata program Ithtifal Lil Atfal tahun ini  membawa kelainan  dengan pelbagai acara yang dibahagikan kepada tiga kategori merangkumi sukaneka, acara ilmiah seperti pertandingan hafazan, tulisan jawi dan khat, pertandingan azan, iqomah serta acara sunnah, seperti memanah.

whatsapp-image-2016-12-10-at-18-57-46

 

Menurut Hamdan lagi, masjid adalah institusi milik masyarakat, oleh yang demikian usaha menghidupan masjid juga perlu digerakkan oleh masyarakat, dan di MTMZA inilah fokusnya.

Seorang penduduk Putrajaya, Malina Abu Bakar, 30, berkata, program-program yang diadakan oleh masjid-masjid dan surau-surau di sekitar Putrajaya agak kurang promosi berbanding acara-acara lain untuk menarik kehadiran orang ramai, terutama remaja.

Beliau berkata jika dibandingkan dengan acara-acara seperti memancing, pesta bunga Floria, lumba kereta, belon panas, kayuhan basikal dan sebagainya, promosinya dilakukan secara besar-besaran melalui pelbagai cara

Malina berkata program anjuran masjid dan surau juga biasanya tidak teratur, seperti pendaftaran yang tidak sistematik, lewat buka kaunter dan sebagainya. Hal ini perlu diatasi supaya imej masjid dan surau-surau dipelihara.

Peserta dan pengunjung Ithtifal Lil Atfal, Afnan Abdul Fatah, 40, pula berkata program begini penting untuk menjinakkan hati masyarakat, terutama kanak-kanak dan remaja supaya lebih merapatkan diri dengan masjid. Ini kerana kebanyakan masjid hanya membawa imej tempat untuk solat lima waktu, tanpa tarikan lain seperti riadah, sukaneka dan sebagainya. Ini menyebabkan hanya mereka yang rajin solat lima waktu di awal waktu  menjejakkan kaki ke masjid.

 

whatsapp-image-2016-12-11-at-11-30-59

 

Bagi Fadwatul Hazirah Zaidi, 16, program-program sebegini walaupun nampak seperti bersukaria tetapi ia sebenarnya mendekatkan masyarakat dengan Tuhan kerana semua acara berteraskan ketuhanan.

Imam Besar MTMZA, Ustaz Ehsan Mohd Hosni, berkata selain sebagai penutup program 2016 MTMZA, Ithtifal Lil Atfal juga turut meraikan jemaah yang istiqomah atau bersama dengan program-program MTMZA, ahli kelab-kelab di bawah kelolaan MTMZA seperti kelab memanah, kelab berbasikal, kelab hafazan dan lain-lain. Selain itu, ia juga bagi meraikan rakan-rakan strategik MTMZA, termasuk para penyumbang samada dari segi kewangan, idea atau tenaga kepada setiap program masjid tersebut.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mencari jalan memudahkan dan menggembirakan jemaah untuk bersama dengan MTMZA. Antara program yang dianjurkan sepanjang 2016, termasuk ATM@MTMZA atau Aqiqah Tahnik Marhaban Ala Kampung, Le Tour De Putrajaya di mana peserta mengayuh basikal ke surau-surau di Putrajaya dan mengimarahkannya dengan mengadakan beberapa acara, seperti iktikaf, konvoi motosikal dan lain-lain.

Beliau berkata MTMZA merupakan masjid pertama memperkenalkan kaedah “zakat pandu lalu” di Malaysia.

Lebih 100 hadiah dan cenderamata berupa wang tunai, basikal, barangan elektrik, telefon pintar, hamper dan sebagainya disediakan kepada pengunjung hari ini, tambahnya lagi.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda