
Laporan dan foto oleh : Mohammad Khairul Azad Yunus / Azman Jumat
KOTA KINABALU, 07 Dis (Malaysiaktif) – Borneo Bug Fest 2016 (BBF) berpotensi untuk melibatkan Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) pada penganjurannya di masa hadapan.
Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah, Datu Rosmadi Datu Sulai, penganjuran BBF perlu dilihat dalam perspektif yang lebih besar.
“BBF 2016 merupakan satu program yang mampu merancakkan industri pelancongan domestik di negeri ini kerana berjaya mengumpulkan 80 buah kereta volkswagen dari Sabah,Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam, Sarawak dan Kalimantan,” ujarnya.
“Justeru, BBF boleh dijadikan platform bagi merapatkan persaudaraan dalam kalangan kawasan Timur ASEAN yang lain seperti Palawan dan Mindanao.
“Kita tidak boleh tolak bahawa BIMP-EAGA akan menjadi satu kawasan yang mempengaruhi keadaan ekonomi di rantau ini,”katanya yang mewakili Menterinya pada Majlis Penutupan BBF 2016 malam semalam.
Tambahnya, BBF yang akan datang perlu singgah ke tempat-tempat tumpuan pelancongan seperti Kundasang dan Taman Negara Kinabalu untuk menikmati keindahan dan keunikan budaya negeri ini.
Datu Rosmadi juga melahirkan keyakinan itu berdasarkan statistik ketibaan pelancong di negeri ini yang sudah mencapai 10 peratus melebihi sasaran awal yang ditetapkan kementeriannya.
Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian hadiah bagi 20 kategori yang dipertandingkan dalam BBF kali ini.
-SH