Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Bekalan Minyak Masak Paket Masih Dicatu

By 6 Disember 2016Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Berikutan pemansuhan subsidi minyak masak membabitkan kesemua saiz botol minyak bermula November lepas, para peniaga kini lebih gemar menggunakan minyak masak paket 1 kilogram (kg) sebagai pilihan kedua untuk berniaga.

Pada pengumuman Bajet 2017 baru-baru ini, kerajaan mengekalkan harga minyak masak paket 1 kg sebanyak RM2.50 bagi memastikan golongan sasar yang memerlukan terus menikmati subsidi kerajaan.

Tinjauan Malaysiaaktif di beberapa premis di negeri ini mendapati masalah bekalan minyak masak masih terkawal walaupun pencatuan telah dilakukan oleh kebanyakan peruncit.

Menurut seorang pekerja kedai runcit di Bachang, Mohamed Ismail, 25, bekalan minyak paket di kedai tersebut mencukupi dan harga runcit masih dikekalkan, namun, pembelian perlu dihadkan sebanyak dua paket bagi seorang pembeli.

mohamed-ismail

Mohamed Ismail, setiap paket minyak dihadkan sebanyak dua paket bagi setiap pembeli.

“Walaupun stok cukup tapi masih agak kurang berbanding sebelum ini. Jadi kita perlu hadkan pembelian supaya semua pelanggan dapat membeli minyak masak,” ujar Mohamed yang berasal dari Bangladesh.

Manakala, menurut seorang pekerja pisang goreng, Syabil Mohamed Yusop, 18, premis tempatnya berkerja pernah kekurangan stok minyak selama seminggu lebih sehingga menjejaskan sedikit perniagaan itu.

“Kami kekurangan bekalan minyak pada awal bulan lepas namun tidak lama kemudian keadaan kembali normal, harga yang kami tawarkan juga masih kekal kerana kami menggunakan minyak masak paket sebagai pilihan alternatif kerana masih ada subsidi,” katanya ketika ditemui di premis Kapten Pisang di Taman Seri Cempaka, di sini.

syabil-ketika-sedang-menggoreng-pisang

Syabil ketika sedang menggoreng pisang di Kapten Pisang.

Sementara itu, bagi pemilik gerai, Hishamudin Salleh, 36, dia yang telah tiga tahun berniaga makanan bergoreng di Taman Kerjasama, Bukit Beruang turut memilih minyak paket sebagai pilihan kedua memandangkan kenaikan harga minyak masak botol boleh menyebabkannya kerugian.

“Setiap hari saya menggunakan 12 kg minyak masak untuk kegunaan dua buah kuali. Dulu saya biasa beli tiga botol minyak lima kg, tetapi sekarang saya beli minyak paket sahaja kerana jika tidak saya akan rugi sebanyak RM17 sehari yang mana kalau dijumlahkan hingga hujung bulan, boleh digunakan untuk membayar ansuran kereta atau rumah,” ujarnya.

Menurutnya, masalah timbul apabila membeli minyak paket kerana dia adakalanya mengambil masa yang lama untuk mendapatkan bekalan berikutan catuan yang dilakukan oleh peruncit selain bekalan yang sukar diperoleh.

hishamudin-ketika-menggoreng

Hishamudin, menggunakan 12 kilogram minyak sehari di gerai miliknya.

“Dengan minyak paket, saya perlu menggunakan 12 paket sehari, kedai runcit pula hanya menjual tak lebih 2 paket untuk seorang pembeli, kalau nasib baik, ada yang tidak kisah jual tujuh paket tetapi saya masih perlu ke kedai yang lain pula untuk cukupkan stok harian,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hishamudin juga turut mengeluh akan kualiti minyak paket. Katanya, minyak dalam paket cepat cair dan kotor manakala proses menggoreng juga mengambil masa yang lebih lama hingga produk yang terhasil tidak kelihatan menarik.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda