Laporan dan foto oleh Fauzrina Hj Bulka
MELAKA, 6 Dis (Malaysiaaktif) – Malaysia kini berada jauh di hadapan dengan kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang diwujudkan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan penting di bawah satu bumbung kepada rakyat setiap hari termasuk cuti umum dan hujung minggu.
Namun begitu, menurut Presiden Kelab Pesara Kerajaan 1 Malaysia (KUPEKMAS), Datuk Omar Osman, kerajaan perlu mula memikirkan keperluan laluan khas untuk warga emas bagi memudahkan mereka berurusan di kaunter kerajaan.
“Kemudahan ini perlu disediakan setelah mengambil kira keperluan dan suara rakyat, memandangkan UTC ini menjadi tumpuan rakyat melibatkan semua perkara. Jadi saya fikir mesti ada laluan khas untuk warga emas sebab hospital pun sudah ada,” ujarnya.
Tambahnya, memang ada sesetengah kaunter yang memberi keutamaan kepada warga emas untuk berurusan, tetapi ada juga kaunter yang masih mengamalkan urusan mengikut nombor giliran.
“Maka, laluan khas ini perlu dibuat. Ini bagi memudahkan mereka memandangkan tidak semua warga emas yang datang dalam keadaan yang sihat dan kita juga tidak boleh fikir semua pekerja di kaunter berfikiran sama macam kita. Setiap premis perlu ada pegawai yang memantau,” katanya.
Omar turut menyarankan supaya pihak jabatan mengambil inisiatif untuk memperbanyakkan latihan dan kursus yang melibatkan perkhidmatan kaunter sebagai satu penambahbaikan.
“Penjawat awam adalah nadi kepada negara yang melaksanakan dasar-dasar kerajaan, justeru mereka perlu bersikap adil dan saksama dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka,” tegasnya ketika membuat lawatan ke Pejabat Imigresen di UTC Melaka, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, salah seorang pelanggan, Amzah Abdul Rahim, 52, berkata beliau gembira jika kaunter kerajaan mewujudkan laluan khas untuk warga emas kerana kesihatan mereka yang tidak menentu.
“Warga emas ini jika tidak ada keperluan mustahak, tidak mungkin mereka ingin berurusan di kaunter kerajaan. Ttapi, adakalanya mereka sendiri perlu datang berurusan walaupun kesihatan tidak begitu baik, maka laluan khas yang nak diwujudkan ini akan membantu mereka,” katanya yang tinggal di Kampung Ulu.
Amzah yang bakal melakukan umrah dalam masa terdekat ini gembira kerana dapat menyiapkan pasport dalam tempoh tidak lebih satu jam di kaunter imigresen tersebut.
“Sebelum ini, pernah juga berurusan di kaunter kerajaan, walaupun adakalanya urusan agak lambat selesai, tapi pada saya pelanggan masih gembira jika terima layanan yang baik daripada pekerja kaunter,” ujarnya.
-DZ