Skip to main content
Berita TempatanKuala LumpurWilayah Persekutuan

Koleksi Kartunis Tempatan Imbau Nostalgia

By 2 Disember 2016Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Malaysiaaktif) – “Ramai peminat koleksi kartun Ujang, Gila-Gila, mahu pun Kerengga datang ke sini dan mengimbau kenangan pada zaman mereka. Ketika itu majalah dan komik inilah yang menjadi sumber hiburan mereka oleh sebab tiada media sosial”.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Kartunis Malaysia, Azhar Adnan berkata demikian ketika ditemui petang tadi di Laman Pameran Wasatiyyah dan Perjuangan bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 di PWTC.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Kartunis Malaysia, Azhar Adnan menunjukkan Koleksi Editorial sebelum merdeka

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Kartunis Malaysia, Azhar Adnan menunjukkan Koleksi Editorial sebelum merdeka.

“Menerusi permerhatian saya, selain peminat kartun, satu kategori lagi datang semata-mata nak tengok kartun yang belum pernah dilihat seperti Kartun Jawi. Apabila mereka tengok kartun unik ini mereka tahu bahawa kartun atau komik telah lama wujud sejak lama dahulu. Lagi-lagi kepada peminat kartun, koleksi ini dirasakan cukup berharga,” tambahnya.

Koleksi kartun tahun 1945

Koleksi kartun pada 1945

“Kini apa yang kita buat ialah mendidik generasi muda untuk menghasilkan kartun yang sesuai ddan beretika untuk dipaparkan menerusi media sosial kini.

“Kita akan mengajar mereka ini untuk menghargai kartun sebagai suatu medium untuk menyampaikan kehidupan seharian serta sikap masyarakat kerana kartun ini ialah satu satira untuk meluahkan apa yang kartunis rasa,” jelas Azhar lagi.

Antara koleksi terbaik karyawan kartunis tanah air.

Antara koleksi terbaik karyawan kartunis tanah air.

Sementara itu, menurut Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar atau Juragan, setelah membuat kajian, sejarah kartun di Malaysia telah bermula sejak 1930-an. Jaafar Taib, Saidin Yahaya, Sulaiman Awang, dan Raja Hamzah merupakan antara pelopor kepada industri ini.

“Kebanyakan yang datang kagum dengan sejarah yang dipamerkan di sini. Generasi 50-an misalnya sangat teruja apabila melihat koleksi Gila-Gila dan sebagainya.

Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar atau Juragan, setelah membuat kajian, sejarah kartun di Malaysia telah bermula sejak 1930-an.

Presiden Kelab Kartunis Malaysia, Mohd Desa Omar atau Juragan, setelah membuat kajian, sejarah kartun di Malaysia telah bermula sejak 1930-an.

“Kita cuma bimbang akan kartun Manga dari Jepun kerana kebanyakan kartunis generasi kini terarah kepada gaya persembahan begitu. Mereka ini tidak lagi cenderung kepada kartunis tempatan seperti Jaafar Taib yang mempertahankan negara menerusi Majalah Gila-Gila.

Antara koleksi pelopor Kartun di Malaysia, Jaafar Taib

Antara koleksi pelopor Kartun di Malaysia, Jaafar Taib

Dalam pada itu, Juragan juga mahu pengunjung PAU dan masyarakat sedar bahawa kartunis di Malaysia bukan seperti Zuna.

“Menerusi pameran ini, kita mahu masyarakat Malaysia tahu kartun ini turut berperanan untuk menyedarkan mereka tentang kemerdekaan. Kartun kita juga bukan berunsurkan provokasi seperti pameran Zuna. Di Malaysia, kita cuba untuk menghiburkan, jika nak mengkritik pun perlu secara berhemah,” jelasnya.

Antara koleksi Majalah Rina yang dikeluarkan pada 1974.

Antara koleksi Majalah Rina yang dikeluarkan pada 1974.

Dalam pada itu, Kelab Kartunis Malaysia juga dalam proses untuk membina Rumah Kartunis pertama di Malaysia hasil kerjasama dengan Jabatan Arkib Negara.

“Rumah Kartunis ini merupakan medan pengumpulan kartun karyawan tempatan yang boleh dijadikan rujukan oleh semua. Kita nak elakkan bahan-bahan ini keluar dari Malaysia. Takkan kita nak pengikut kartun terpaksa ke luar negara untuk membuat penyelidikan komik tempatan.

Lebih 100 koleksi kartunis tempatan dengan tema Wasatiyyah dan Perjuangan dipamerkan sepanjang PAU 2016

Lebih 100 koleksi kartunis tempatan dengan tema Wasatiyyah dan Perjuangan dipamerkan sepanjang PAU 2016

“Setakat ini kita dah berjaya kumpulkan 20000 karya kartunis tempatan. Rancangan ini akan dirasmikan sendiri oleh Perdana Menteri pada 1 Februari 2017,” ujarnya.

Lebih 100 koleksi kartunis tempatan yang bertemakan Wasatiyyah dan Perjuangan Mempertahankan Tanah Air sebelum dan selepas merdeka anjuran Institut Wasatiyah Malaysia dipamerkan sepanjang lima hari PAU berlangsung.

 

Tinggalkan komen anda