Laporan dan foto oleh : Asmidar Zainol / Vicky Matanjang
KOTA KINABALU, 7 Dis (Malaysiaktif) – Sikap ambil peduli perlu diterapkan dalam budaya masyarakat sebagai usaha membasmi gejala penagihan dadah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, semua pihak perlu ambil peduli dengan bekerjasama membanteras gejala penagihan dadah secara berleluasa.
“Belia merupakan pewaris bangsa, sekiranya ramai belia terjebak dengan gejala dadah, bagaimanakah masa depan negara kita pada masa hadapan,” ujar beliau di sidang media program Berbasikal Bebas Dadah & Sampah 1Sabah 1Malaysia di perkarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
“Berdasarkan maklumat yang kami dapati, golongan belia yang banyak terjebak dalam masalah dadah adalah berusia di antara 15 hingga 25 tahun.
“Sekiranya anda ke penjara wanita, anda pasti terkejut kerana ramai wanita-wanita muda terdiri daripada pelajar-pelajar universiti yang sedang menjalani hukuman dan ada yang sedang menunggu hukuman gantung untuk dijalankan hanya disebabkan mereka dijadikan ‘keldai dadah’ tanpa sengaja dan tidak disedari.
“Oleh yang demikian, saya menggalakkan lebih banyak agensi kerajaan bekerjasama antara satu sama lain dalam usaha membanteras gejala ini melalui program-program Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS),” katanya.
Tambahnya, melalui NBOS mesej-mesej yang ingin disampaikan kepada masyarakat sasaran akan lebih efektif.
Selain itu, ibu bapa juga perlu mengambil bahagian dalam memainkan peranan dalam membanteras gejala dadah tersebut.
“Ibu bapa perlu ambil peluang bersempena cuti sekolah ini untuk bersama-sama anak-anak anda dan pantau aktiviti mereka terutamanya ketika mereka melayari ICT,” katanya
Tiga penunggang basikal dari Kelab Berbasikal DBKK terlibat pada ekspedisi menjelajah ke 33 daerah seluruh Sabah selama 10 hari dengan jarak 2,190 kilometer.
Program ekspedisi anjuran bersama Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu, Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah, Agensi Antidadah Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini membawa mesej ‘Bebas daripada Sampah, Dadah dan Rasuah’.
Ketua Ekspedisi, Jurutera DBKK, Victor Wong, 53, Juruteknik DBKK, Saiful Bahari Kanoda,38 dan pelajar Kolej Vokasional Likas, Valens Victor Wong, 19, memulakan kayuhan semalam dan dijangka berakhir pada 16 Disember nanti.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini sepanjang ekspedisi tersebut boleh melayari laman Facebook DBKK Cycling CLUB.
-SH