Laporan dan foto oleh : Yahya Abdul Rajak / Saiful Rahman Sabri
KOTA KINABALU, 07 Dis (Malaysiaktif) – Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited membantu ibu bapa kurang berkemampuan untuk mengkhatan anak.
Pegawai Hal Ehwal Islam, Razali Saibin berkata pusat itu mengenakan bayaran serendah RM60 bagi kakitangan awam yang berjawatan di bawah Gred 26, RM85 bagi gred 27 ke atas dan percuma bagi kanak-kanak yatim dan golongan kurang berkemampuan.
“Pada peringkat awal pelaksanaan, program khatan ini merupakan aktiviti tahunan kita untuk membantu para ibu bapa yang kurang berkemampuan terutama dalam kalangan kakitangan UMS dan keluarga para pelajar UMS.
“Oleh kerana sambutan pada setiap tahun amat menggalakkan, pihak pengurusan kemudiannya memutuskan agar program ini turut dibuka kepada masyarakat di sekitar Kota Kinabalu,” jelasnya.
Peluasan pelaksanaan program ini secara tidak langsung memberi kemudahan kepada para ibu bapa yang menghadapi masalah kewangan menghantar anak mereka berkhatan di hospital atau klinik swasta dengan kos yang agak mahal.
“Selain berkhatan, Pusat Islam UMS juga menawarkan khidmat runding kesihatan daripada aspek pemeriksaan kesihatan, kempen gaya hidup sihat dan pameran kesihatan kepada ahli keluarga yang menyertainya,” katanya kepada media pada Program Khatan Perdana yang melibatkan 60 kanak-kanak di Masjid UMS.
Turut diadakan, program derma darah yang menjalin ukhuwah pelajar dan ibu bapa dalam meningkatkan kefahaman tentang kesedaran kesihatan dan kesan mengabaikannya.
Tambah beliau, pusat tersebut dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah (PERKIPS) Cawangan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu merancang mengadakan program seumpama pada tahun depan di kampung terpilih sebagai usaha membantu dan mendampingi masyarakat setempat.
Peserta, Idryn Ivan Teo, 11, berketurunan Cina Muslim berkata “rasa takut dan gementar ketika tiba di sini tetapi semakin berani dan seronok bila melihat ramai kawan-kawan berkhatan bersama-sama.”
Atuk Idryn, Fauzi Teo, 71, dari daerah papar menyatakan ini merupakan percubaan ketiga beliau membawa cucunya untuk berkhatan apabila sebelum ini merancang ingin berkhatan tetapi sering tidak jadi disebabkan cucu lain lebih gemar mengikuti ahli keluarga bercuti.
“Nasib ada saudara yang lain bagi tahu bahawa UMS ada tawar khatan perdana hari ini dan cucu pun mahu juga jadi kira ini usaha kali ketiga saya untuk bawa berkhatan,” katanya ketika ditemubual pada program berkenaan.
Beliau turut memuji pelaksanaan program ini kerana ia banyak memberi kemudahan kepada ibu bapa yang sibuk untuk menghantar anak berkhatan dengan kos yang lebih rendah selain yakin dengan perkhidmatan berkhatan tersebut kerana ia adalah tenaga pakar dari Persatuan Kebajikan Islam Perubatan Sabah.
-SH