
Oleh: Fasharina Kholil / Foto: Ihsan Fazi Lahaman
GERIK, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Hasrat seorang ibu tunggal bersama tiga cahaya matanya untuk mendiami rumah yang lebih sempurna akhirnya tercapai.
Nor Mawarni Baharom menerima sebuah rumah hasil sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas Majlis Penyerahan Rumah Baiti Jannati Peringkat Negeri Perak yang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Salbiah Mohamed, di Kampung Kerunai, semalam.
Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut, Pengurus Besar Stesen Jana Elektrik Sungai Perak ( Bahagian Penjanaan), Mazlan Mohd Som.
Menurut Nor Mawarni, dia sangat bersyukur kerana menerima sumbangan rumah tersebut dan menganggapnya sebagai rezeki anak-anak.
“Alhamdulilah, pada mulanya saya tidak menyangka akan mendapat sumbangan ini dan saya sangat bersyukur kerana berkesempatan untuk mendiami rumah baharu ini,” ujarnya gembira.
Nor Mawarni turut melahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya serta keluarga khususnya TNB yang memberikannya rumah berkenaan.
-DZ