Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanEkonomiHomeMelaka

Teladan di Sebalik Coconut Shake Batu Berendam

By 12 Januari 2017Tiada komen4 minit bacaan

 

 Oleh Mastika Hablum / Foto: Fauzrina Hj Bulka

MELAKA, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Niat ikhlas ingin membantu ibu, seorang anak muda yang hanya bersekolah hingga darjah enam kini mampu membina kehidupan yang baik dan menjadi usahawan berjaya.

Siapakah yang tidak kenal gerai ‘viral’ Coconut Shake Batu Berendam? Pemiliknya Mohd Khairi Atan, 29, berkongsi pengalamannya memperoleh pendapatan sejak usia muda.

“Saya sebak lihat keadaan mak saya ketika itu yang perlu membawa lori dan mengangkat tong gas hendak berniaga untuk menyuap mulut kami adik-beradik. Umur saya 12 tahun ketika saya ambil keputusan untuk berhenti sekolah,” ujarnya.

Lori yang diberi ibunya ketika 13 tahun masih digunakan hingga kini

Lori yang diberi ibunya ketika 13 tahun masih digunakan hingga kini.

 

Menurut Mohd Khairi, dia memang tidak minat untuk belajar dan mengambil keputusan menamatkan pelajaran dan kemudian mengikuti bapanya berniaga buah-buahan di tepi jalan.

Ketika berusia 13 tahun, berbekalkan pengalaman dengan modal RM2,000 dan sebuah lori milik keluarganya, dia memulakan perniagaan sendiri dengan berniaga buah-buahan tempatan.

Katanya, suntikan modal tambahan adalah daripada hasil usahanya sendiri kerana dia tidak pandai menyiapkan kertas kerja untuk mendapatkan pembiayaan modal daripada daripada badan-badan tertentu, tambahan lagi dia juga tidak mempunyai penyata gaji.

Pekerjanya melakukan tugas dengan cekap

Pekerjanya melakukan tugas dengan cekap.

 

“Untuk membesarkan perniagaan, saya dapat mengumpul RM24,000 dengan menjual alat ganti motosikal saya,” ujarnya yang berjaya memperoleh semula alat ganti yang dijual selepas enam tahun berniaga.

Menurut Mohd Khairi, pada suatu ketika, kawannya mencadangkan untuk mencipta resipi ‘coconut shake’ memandangkan dia menjual kelapa muda.

WhatsApp Image 2017-01-12 at 16.19.32

Coconut Shake Batu Berendam miliknya sentiasa menjadi pilihan orang ramai.

 

“Tiga bulan pertama, saya dapat komen resipi saya tak sedap. Campuran isi kelapa, air kelapa, gula dan aiskrim diolahkan dan saya mengambil masa empat tahun untuk menstabilkan rasa minuman ini agar sama setiap kali bancuhan dibuat,” jelasnya.

Kini, dia memiliki sebanyak 20 mesin pengisar air kelapa dan tiga buah kedai, termasuk sebuah kedai Yong Tau Foo yang diamanahkan kepada adiknya untuk diuruskan.

2 antara 3 kedai miliknya

Dua antara tiga kedai milik Mohd Khairi. Kedai Yong Tau Fu Batu Berendam diuruskan oleh adiknya.

 

“Semenjak berniaga, sayalah yang menanggung mak dan tiga orang adik saya untuk belajar sehingga peroleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan saya juga yang tanggung kos perkahwinan mereka dan berikan modal untuk mereka berniaga,” kata Mohd Khairi.

Tambahnya, dia tidak pernah meminta mereka membayar semula modal tersebut, apatah lagi meminta bahagian daripada keuntungan yang diperoleh, tapi Khairi mewajibkan adik-adiknya untuk memberikan elaun bulanan kepada ibunya yang kini berusia 51 tahun.

Antara produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dijual di kedainya.

Antara produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang dijual di kedainya.

 

Jika diperhati keadaan kedainya, persekitaran yang kemas dan bersih sangat menenangkan dan kelihatan beberapa produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang diletak di sana dengan niat membantu usahawan-usahawan terbabit.

“Saya sangat menitikberatkan kebersihan, dan jika ada tisu sehelai di lantai pun saya akan terus sapu. Begitu juga barangan makanan yang ditumpangkan untuk dijualkan di sini, saya akan periksa persekitaran rumah individu itu dahulu, kalau bersih, saya akan benarkan mereka letak di sini,” tegasnya.

Menurut Khairi, dalam setahun, kedainya hanya bercuti selama sembilan hari, termasuk sehari pada Hari Raya Aidilfitri dan satu hari pada Hari Raya Haji.

Produk iks yang diletakkan di kedainya

Kuih-muih juga merupakan antara produk IKS yang diletakkan di kedainya.

 

“Tujuh hari baki cuti itu saya berikan pada pekerja kebiasaanya seminggu sebelum puasa, saya benarkan mereka berehat sebelum saya perah peluh mereka sepanjang Ramadan untuk berniaga di baazar,” jelas Khairi yang kini mempunyai seramai 30 orang pekerja.

Khairi turut berterima kasih atas jasa baik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Gafar Osman yang membantunya mendapatkan lesen dan tapak perniagaan yang sah.

Selain itu, kata Mohd Khairi, Mantan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam turut membantu dan menyokong perniagaannya sehingga tersenarai dalam kalendar produk pelancongan Melaka.

Pilihan yong tau foo di kedainya

 

“Tanpa bantuan daripada pengerusi JKKK dan Tan Sri Ali, tak mungkin saya berada pada tahap yang saya kecapi sekarang dan rasa bertuah kerana kerajaan negeri membantu usaha saya ini,” katanya.

Dalam pada itu Mohd Khairi memaklumkan bahawa sehingga kini ramai pelancong luar, antaranya daripda China, Vietnam dan Hong Kong telah singgah dan merasai sendiri Coconut Shake buatannya.

“Pelancong kata mereka tahu mengenai perniagaan saya melalui Facebook, dan sebenarnya, saya sendiri membayar sebanyak RM680 setahun kepada Google untuk memudahkan pelanggan dari luar negara baca mengenai perniagaan ini,” ujar Mohd Khairi berkongsi rahsia pemasarannya.

WhatsApp Image 2017-01-12 at 16.19.18

Mohd Khairi memperolehi bekalan kelapa dari Perak.

 

Namun begitu, ketika dia berada di puncak kejayaannya ketika ini, dia tidak pernah lupa pesanan arwah datuknya agar bersedekah 30 peratus daripada hasil jualan kepada orang susah.

“Berpegang dengan pesanan itu, sampai sekarang saya tidak pernah lupa bersedekah dua kali sebulan ke badan-badan amal di seluruh negeri,” katanya.

Selepas ini, Mohd Khairi turut merancang untuk menambah perkhidmatan ‘drive-thru’ namun masih belum memiliki lokasi yang strategik dan sesuai.

 

-DZ/AAS

Tinggalkan komen anda