Skip to main content
Berita TempatanSabah

Jangan Panik, Bekalan Minyak Cukup

By 7 Januari 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Oleh: Yahya Abdul Rajak & Mohammad Abdul Rahman/ Foto: FB KPDNKK (Sabah)
KOTA KINABALU, 7 Jan (Malaysiaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sabah (KPDNKK) memberi jaminan bekalan minyak mencukupi selagi orang ramai tidak melakukan pembelian panik.

Menurut Pengarah, KPDNKK Sabah, Yahya Sulaiman, ketika ini sudah ‘viral’ bekalan minyak habis di pasaran walaupun kekurangan bekalan tersebut hanya berlaku di sesetengah kawasan sahaja dan tidak melibatkan semua kawasan.

“Bekalan tambahan minyak masak akan kembali berada di pasaran pada minggu hadapan. Ketika ini sejumlah 672 matrik tan (m/t) sudah berada di pasaran semasa.

Pemeriksaan oleh Pegawai KPDNKK di sekitar daerah Tuaran, Tamparuli, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang dan Ranau

Pemeriksaan oleh Pegawai KPDNKK di sekitar daerah Tuaran, Tamparuli, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kundasang dan Ranau

Tambahnya, KPDNKK telah memilih dan melantik sejumlah 115 peruncit terpilih (District Dedicated Retailer) di seluruh Sabah dalam memastikan bekalan minyak ini sentiasa ada di premis-premis berkenaan.

“Berdasarkan pemeriksaan yang telah dilakukan mendapati tidak semua lokasi mengalami kehabisan bekalan minyak hanya di sebahagian lokasi sahaja.

“Sepanjang pemeriksaan tersebut terdapat 17 kes berkaitan dengan minyak masak yang berkait Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala dua kes di peringkat pendakwaan,” ujarnya.

Yahya, turut mengingatkan pihak peruncit agar tidak menjual minyak polybag 1kg melebihi had ditetapkan iaitu sebanyak lima polybang untuk seorang pembeli bagi mengelakkan berlakunya kekurangan bekalan di pasaran.

“Sehingga kini sebanyak 18 aduan awam telah diterima, 15 daripadanya telah berjaya diselesaikan dan tiga aduan baharu diterima.

Katanya lagi, pengguna tidak harus panik hingga membeli bekalan minyak tersebut dalam kuantiti yang banyak kerana tindakan tersebut menyebabkan kehabisan bekalan minyak di pasaran.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat Task Force Perlindungan Pengguna Sabah di Bilik Mesyuarat Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah pada Jumaat.

Penguat kuasa KPDNKK Cawangan Beaufort sedang melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Daerah Berkenaan.

Penguat kuasa KPDNKK Cawangan Beaufort sedang melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Daerah Berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Datuk Seri Ahmad Ayid berkata orang ramai jangan terlalu panik dengan mempercayai maklumat yang ‘viral’ di media sosial menyatakan minyak masak habis.

“Pengguna perlu mengawal penggunaan minyak masak dan mengamalkan gaya hidup sihat serta bertindak menyampaikan aduan kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil bagi mengekang tindakan segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Kegusaran rakyat di negeri ini tercetus apabila kesukaran memperoleh minyak masak di pasaran berikutan kurangnya bekalan diterima oleh peniaga.

Tinjauan di beberapa pasar raya utama di daerah Papar mendapati bekalan semakin berkurangan terutama minyak masak peket 1kg bersubsidi.

Situasi tersebut turut dialami penduduk di daerah Membakut, Sandakan dan di sekitar Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, pengguna, Awang Hazim, 38 , berkata pihak KPDNKK perlu lebih tegas dalam membuat pemantauan dan tindakan kepada mana-mana peniaga yang cuba menyimpan bekalan tersebut bagi mendapat keuntungan berganda ketika menjual pada harga yang tinggi.

SF

Tinggalkan komen anda