Skip to main content
Berita TempatanSabah

Mangsa Banjir Pitas Luah Rasa Derita

By 9 Januari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Zuraidah Ahmad & Nur Effa Maruf / Foto: Mastim Kiriman (Sabah)

PITAS, 9 Jan (Malaysiaktif) – Tiada siapa mahu ditimpa musibah, apatah lagi bencana yang datang hampir setiap tahun.

Berpindah ke pusat pemindahan dengan meninggalkan harta benda merupakan keputusan yang terpaksa diambil penduduk disebabkan tiada pilihan dan akur dengan arahan demi keselamatan masing-masing.

Mangsa, murid tahun satu SK Pekan Pitas, Mohamad Shazrin Hamduri, 7, yang ditemui kelihatan sugul dan kurang bercakap. Ibunya, Normaini Nualim, 34, berkata anaknya yang sangat teruja memulakan sesi persekolahan itu kini terkesan dengan banjir berkenaan.

Shazrin kecewa kerana peralatan sekolah musnah.

Shazrin kecewa kerana peralatan sekolah musnah.

“Pada 4.00 pagi, kami dikejutkan oleh beberapa anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang mengetuk pintu rumah. Mereka memberitahu air banjir sudah mula naik dan mengarahkan kami untuk berpindah.

“Ketika itu, kami hanya mampu melihat kereta kami dimasuki air dan semua peralatan sekolah dan buku berada di dalam kereta itu.

“Saya sedih melihat Shazrin menangis kerana dia sangat bersemangat untuk memasuki Tahun Satu pada tahun ini,” katanya.

Rosnani (dua dari kanan) ketika ditemui media.

Rosnani (dua dari kanan) ketika ditemui media.

Shazrin merupakan anak kedua kepada keluarga tersebut manakala kakaknya merupakan pelajar Tahun Enam bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.

Sementara itu, warga emas, Sinasayan BA. Mogundal, 106, yang mempunyai cucu Orang Kelainan Upaya (OKU) diselamatkan anggota APM kira-kira 3.00 pagi pada hari kejadian tersebut.

Jelas cucu, Rosnani BA. Masindai, 32, mereka dibawa ke pusat pemindahan banjir di Dewan SK Rukom bagi mendapatkan perlindungan akibat rumah ditelenggami air pada paras leher.

Berbeza dengan situasi dialami penduduk Kg. Kebatasan, Steven, 58, berkata walaupun tidak menerima arahan berpindah, halaman rumah kelihatan ditakungi air banjir setinggi lima kaki.

“Rumah saya berhampiran tepi jalan utama ini turut didiami tiga keluarga. Selain kehilangan sekandang ayam kampung keluarga turut mengalami masalah bekalan air bersih.

“Air banjir ini mula naik kira-kira 4.00 pagi, disebabkan hujan berterusan dan bertembung dengan air pasang. Kawasan ini memang rendah dengan tanah sawah yang menakung air.

“Saya dan keluarga bersyukur kerana tidak diarahkan berpindah, cuma apa yang kami bimbangi ialah ancaman buaya yang ada di Sungai Bengkoka. Dengan keadaaan banjir ini, tidak mustahil buaya-buaya itu akan datang dan mengancam keselamatan penduduk,” ujarnya.

Kegusaran ini mengambil kisah kejadian banjir pada dua tahun lalu, apabila didapati seekor buaya memasuki dapur rumah jirannya menyebabkan keadaan panik. Mujur tiada kemalangan jiwa kerana buaya tersebut hanya merenggut seekor ayam yang hampir dengannya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Rukom Ulu, Mikson Mogantar, 48, pula memaklumkan kebanyakan binatang ternakan seperti ayam, itik, kambing, sapi dan tanaman milik penduduk kampung telah musnah.

Mikson memohon agar kerajaan menyediakan penempatan baharu untuk penduduk di kampungnya.

Mikson memohon agar kerajaan menyediakan penempatan baharu untuk penduduk di kampungnya.

“Beras yang disimpan di rumah telah basah, dan makanan lain juga telah dihanyut banjir. Selain haiwan peliharaan seperti kucing, binatang ternakan juga menjadi korban. Paling menyedihkan, rakan saya yang merupakan pengusaha ikan patin turut terjejas teruk apabila kolam air tawar dilimpahi air bah.

“Peralatan elektrik juga musnah sama sekali dan proses membersihkan rumah itu nanti juga agak meletihkan. Namun, inilah yang terpaksa kami hadapi hampir setiap tahun.

“Kami berharap kerajaan dapat membuat penempatan baharu kepada penduduk kampung terjejas. Mungkin sistem perparitan juga perlu dilihat semula kerana apa yang jelas sekarang ini ialah jalan raya lebih tinggi daripada halaman rumah kami. Jadi bila hujan turun, air melimpah masuk ke halaman rumah kami,” ucapnya penuh harapan.

Sukarti (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan mengejut ke Pitas.

Sukarti (dua dari kiri) ketika mengadakan lawatan mengejut ke Pitas.

Banjir pada 5 Januari lalu, menjejaskan 16 buah kampung melibatkan 281 mangsa daripada 67 buah keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan SK Rukom, Dewan SK Pekan II dan Dewan Terbuka SK Kebilangau Besar.

Kejadian tersebut turut menenggelamkan sembilan jalan utama setinggi 0.1 hingga 0.5 meter daripada paras jalan raya terdiri daripada Jalan Utama Kg Salimpodon Darat, Jalan Utama Kg Indah, Jalan Utama Kg Kusilad, Jalan Utama Kg Pandan Mendamai, Jalan Utama Kg Layang Kanibongan, Jalan Utama Kg Sosop, Jalan Utama Kg Boribi Kanibongan, Jalan Utama Kg Pondoi dan Jalan Utama Kg Kibuluh.

Banjir di Kg Kusilad.

Banjir di Kg Kusilad.

Insiden juga mendapat perhatian Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhailbul yang mengadakan lawatan mengejut ke beberapa sekolah dan lokasi terjejas banjir.

-SF

Tinggalkan komen anda