
Laporan / foto oleh Mohamad Borhan Ahmad Ulis
KUCHING, 9 Feb (Malaysiaaktif) – Kepelbagaian etnik dan budaya menjadikan rakyat Malaysia kaya dengan pelbagai bahasa. Kecekapan untuk berkomunikasi dan menulis dalam pelbagai bahasa menjadikan seseorang individu itu lebih bernilai dalam sesebuah organisasi.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg (Abang Jo), Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyokong usaha untuk menggalakkan penguasaan pelbagai bahasa bagi menghadapi persaingan ekonomi global.
“Selain Bahasa Melayu dan Inggeris, Bahasa Mandarin juga penting bagi memudahkan urusan perniagaan di peringkat global iaitu China. Oleh itu, kita sangat menggalakkan penguasaan ketiga-tiga bahasa berkenaan bermula di peringkat kanak-kanak lagi
“Saya juga ingin mengingatkan kepada kaum Bumiputera supaya bersaing dengan kaum bukan Bumiputera dengan menguasai pelbagai bahasa bagi menambahkan lagi kelebihan dalam bidang kerjaya,” jelas Abang Jo.
Dalam pada itu, Abang Jo juga berkongsi kisah seorang pelajar Melayu yang pernah ditawarkan belajar di China yang akhirnya mendapat banyak peluang kerja oleh sebab fasih berbahasa Mandarin.
“Pernah seorang pelajar perempuan Melayu ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Guangzhou China. Dia memohon untuk mendapatkan biasiswa kerajaan negeri tetapi malangnya pada masa itu Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Cina (UEC) belum diiktiraf.
“Oleh itu, kita bantu dia melalui Tabung Baitulmal Negeri dan setelah tamat belajar dia mendapat banyak tawaran bekerja dari pelbagai syarikat kerana pelajar berkenaan fasih berbahasa Mandarin,” ujar Abang Jo lagi.
Abang Jo ditemui semasa menghadiri Majlis Perasmian Bangunan Baru SJK Chung Hua No.4, di sini petang tadi.
Pada majlis itu, Abang Jo turut memaklumkan Kerajaan Negeri terus membantu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dengan menambahkan peruntukan sebanyak RM6 juta pada tahun ini.
“Sebagai Ketua Menteri keenam saya akan memastikan segala janji yang telah dibuat oleh Allahyarham Tok Nan untuk membantu komuniti Cina direalisasikan.
Pada majlis yang turut dihadiri Najib itu, Abang Jo yang juga Menteri Kewangan memberitahu, kerajaan negeri telah menghulurkan bantuan sebanyak RM800 ribu kepada pembinaan bangunan baharu sekolah ini pada 2015 di sebuah majlis pengumpulan dana.