Skip to main content
Berita TempatanSabah

Komet 45P/Honda Bakal Muncul Semula Lusa

By 9 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Asmidar Zainol / Foto: Zambri Zainuddin dan www.irida-observatory.org (Sabah)

KOTA KINABALU, 9 Feb (Malaysiaktif) – Bagi peminat-peminat astronomi, kemunculan semula Komet 45P/Honda-Mrkos-Pajdusakova (HMP) seharusnya tidak dilepaskan begitu sahaja.

Berada di langit sejak Disember lalu, komet 45P/HMP bakal bersinar terang pada 11 Februari ini.

Menurut Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin, komet 45P/HMP akan berada di kedudukan paling dekat dengan Bumi iaitu 12.4 juta km menyebabkannya dapat dilihat dengan jelas.

Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin

Profesor Pelawat Program Astronomi Islam, Universiti Malaya Datuk Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin

“Setelah mengelilingi Matahari, komet ini akan melintasi Bumi sebelum keluar daripada sistem suria selepas mengorbit secara elips dengan tempoh pusingan setiap 5.25 tahun.

“Dengan jarak 12.4 juta km paling hampir dengan Bumi, peminat astronomi akan dapat melihat cahaya seperti bebola kecil kelam atau ‘fuzzball’ di langit.

Imej menggunakan DSLR oleh Irish Federation of Astronomical Societies pada hujung Disember 2016.

“Ini akan menjadi saat terbaik kepada peminat-peminat astronomi untuk mencerap komet tersebut sehingga Mac nanti.

“Pada 11 Februari ini kecerahannya akan mencapai magnitud 6, dan dapat dilihat dengan jelas menggunakan binokular atau teleskop,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, katanya, kenampakan komet tersebut dijangka agak terbatas disebabkan Bulan sedang dalam fasa penuh dan kedudukan komet tersebut yang berada agak hampir dengan planet Kejora atau  Zurah (Venus).

Kedudukan Komet 45P/Honda–Mrkos–Pajdušáková

Kedudukan Komet 45P/Honda–Mrkos–Pajdušáková

Tambahnya lagi, kepada orang ramai yang ingin mencerap komet tersebut, mereka boleh menggunakan buruj-buruj Capricornus, Aquilla, Hercules, Corona Borealis, Bootes, Coma Berenices dan Leo sebagai panduan untuk mencari komet tersebut selepas Matahari terbenam.

Komet 45P/HMP ditemui oleh Minoru Honda di Kurashiki, Jepun pada 3 Disember, 1948 semasa aktiviti rutin pencarian komet. Komet tersebut dinamakan bersempena dengan namanya serta penemu bersama yang lain iaitu, Antonín Mrkos dari Republik Czech dan Ludmila Pajdušáková dari Slovakia.

Sementara itu, Pengendali Balai Cerap Sabah Stargazer, Haris Jeffrey Harun berkata, komet 45P/HMP diklasifikasikan sebagai komet kerdil pertengahan umur dengan saiz nukleusnya antara 0.5 hingga 1.5 km.

Imej menggunakan DSLR oleh Irish Federation of Astronomical Societies pada hujung Disember 2016.

Imej menggunakan DSLR oleh Irish Federation of Astronomical Societies pada hujung Disember 2016.

“Komet 45P/HMP juga tergolong sebagai ahli komet keluarga Musytari kerana tempoh mengorbit Matahari kurang daripada 20 tahun iaitu sekitar 5.25 tahun apabila disahkan pada 1949.

“Analisis orbit menunjukkan bahawa tempoh orbitnya pada 1933 ialah 5.5 tahun dan semasa menghampiri planet Musytari pada Ogos 1935 tempoh orbitnya telah menurun kepada 5.3 tahun.

“Komet ialah merupakan ahli sistem suria yang berasal dari suatu kawasan di luar pinggir sistem suria kita yang dinamakan sebagai kawasan Awan Oort.

05

Pengendali Balai Cerap Sabah Stargazer, Haris Jeffrey Harun.

“Komet membawa bersama-samanya maklumat tentang asal-usul sistem suria kita menyebabkannya  sangat diminati untuk dikaji oleh ahli Astronomi di seluruh dunia bahkan boleh memberi ancaman kepada Bumi jika saiznya adalah cukup besar.

“Rempuhannya ke permukaan Bumi boleh memusnahkan kehidupan seperti mana pupusnya dinosaur kira-kira 65 juta tahun yang lalu,” terangnya.

Walau bagaimanapun menurut Harris, kemunculan komet jarang dikaitkan dengan upacara-upacara ritual seperti yang pernah dilakukan oleh masyaratkat dahulu kala ke atas gerhana dan juga meteor.

“Ini mungkin kerana pergerakan komet tidak sepantas pergerakan meteor dan kesannya juga tidak sebegitu ketara seperti gerhana.

“Komet akan kelihatan seperti bergerak terlalu perlahan bersama-sama bintang-bintang lain dilangit tetapi bezanya akan kelihatan mempunyai struktur ekor yang panjang,” jelasnya.

Harris turut memaklumkan, terdapat juga kepercayaan oleh masyarakat Eropah kuno bahawa kemunculan komet ada kaitan dengan kematian pembesar-pembesar yang memerintah negeri mereka. Namun itu hanyalah suatu kepercayaan karut dan tahyul semata-mata.

-SF

Tinggalkan komen anda