
Oleh Zuraidah Ahmad / Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)
KOTA KINABALU, 7 Feb (Malaysiaktif) – Tidak tertanggung lagi kerinduan ibu, Ani Tambuyong, 42, terhadap anak sulung yang hilang di lautan sembilan hari lamanya.
Tiada apa-apa lagi yang diharapkan, selain keselamatan anaknya, Absoy Kasim, yang merupakan kru bot katamaran yang masih hilang bersama lima lagi mangsa dalam kejadian di Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu.
Malah, setiap kali ditanya tentang anaknya itu, dia seakan-akan tidak mampu berkata-kata lagi. Hanya air mata yang berlinang di pipi muka yang cengkung dan mata sembap.
“Saya reda atas segala yang Allah SWT takdirkan, walau apa-apa pun keadaannya saya mahu dia ditemui dan saya mahu melihatnya.
“Ibu mana yang tidak rindu pada anaknya, sayalah ibunya, saya yang melahirkannya apa lagi dalam keadaan sekarang yang kita tidak tahu keberadaannya.
“Kami sekeluarga setiap hari membaca surah Yasin, zikir dan berdoa kepada Allah Yang Maha Kuasa agar dia ditemui selamat. Hanya itu yang saya minta. Saya mahukan anak saya selamat ya Allah,” ucapnya dengan nada yang bergetar kesedihan.
“Hanya Allah SWT yang tahu perasaan saya setiap kali ada mayat yang ditemui dan diangkat melalui jeti ini. Namun, saya reda,” ujarnya tenang sambil mengesat air mata.
Turut berada di sisinya, menantu yang juga isteri kepada Absoy, Amelia Samanail, 21, dari Pulau Gaya. Dia juga kelihatan tidak dapat menahan sebaknya.
Dia yang berada di tepi Jeti Polis Marin Kota Kinabalu sejak hari pertama menyatakan tidak akan berganjak selagi suami tercinta tidak ditemui.
Dia yang berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya enam bulan lalu, tidak pernah menduga akan diuji sehebat itu. Hanya foto semasa majlis nikahnya yang ada dalam telefon bimbit menjadi penawar rindu terhadap suami tersayang.
“Setiap masa saya berdoa kepada Allah SWT agar suami saya ditemui segera dalam keadaan selamat. Saya tidak mahu apa-apa yang buruk menimpa dirinya,” katanya penuh sebak sambil menutup wajah dengan telapak tangan.
Menemani mereka, bapa saudara kepada Absoy, Masri Digan, berasal dari Kudat, mewakili seluruh keluarga mangsa merakamkan penghargaan kepada media yang bertugas dan turut memberi semangat kepada mereka sekeluarga, setiap hari.
Selain itu, dia juga berterima kasih kepada beberapa pemimpin atas keperihatinan memberi bantuan dan sokongan moral sepanjang sembilan hari berkampung di tepi jeti tersebut.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid ketika melawat keluarga mangsa turut menghulurkan bantuan peribadinya di jeti tersebut, pada petang Ahad.
Jainab menjelaskan pihaknya menerusi Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, beberapa bantuan akan dipertimbangkan untuk disalurkan antaranya bantuan kebajikan setiap bulan, bantuan persekolahan bagi adik-beradik mangsa yang masih belajar dan kursus-kursus kemahiran bagi mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.
Tambahnya, padamasa terdekat ini bantuan kewangan serta khidmat kaunseling akan diberikan untuk menstabilkan emosi ahli keluarga.
Pada Sabtu minggu lepas, bot malang yang disertai tiga kru turut membawa 28 pelancong warga China itu dipercayai karam akibat angin kencang dan ombak di perairan Pulau Mengalum.
Bagaimanapun, esoknya, dua kru bersama 20 pelancong berkenaan diselamatkan di perairan Semarang dekat Labuan manakala tiga yang lain terkorban.