Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Wartawan Penuhi Pusat Media Tanjong Datu

By 7 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa/ Foto: Razali Ihi

LUNDU, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu yang memasuki hari keempat mula dipenuhi dengan kehadiran media tempatan mahu pun media Semenanjung.

Petugas media yang berkampung di Lundu dan Sematan sejak Sabtu lalu dilihat mula sibuk mencari bahan berita yang menunjukkan warna-warni kehidupan masyarakat di sini.

Tempat tumpuan petugas media pada kali ini tidak lain tidak bukan pastinya Pusat Media yang terletak di Bilik Latihan Majlis Daerah Lundu.

Menurut wartawan New Strait Times Kuching, Esther Landau, pusat media yang disediakan oleh Jabatan Penerangan Sarawak itu lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan oleh semua petugas media.

DSC_5313

Esther Landau dan Taufik yang sibuk menyiapkan tugasan masing-masing

“Pada saya kemudahan yang ada cukup lengkap kerana sebagai petugas media apa yang kita mahu adalah seperti kelengkapan meja, kerusi, Internet, ‘extension plug’ (palam penyambung). Profil calon, program harian setiap calon juga turut disediakan oleh pihak penyelaras secara efisien.

Tambahnya, sepanjang empat hari ini, situasi kempen masih lagi pada tahap yang sederhana.

“Situasi di sini tidak semeriah Pilihan Raya Negeri (PRN) atau PRK di tempat lain. Apa yang saya lihat, masyarakat sini cukup menghormati Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) yang baru meninggal dunia. Kempen masih berlangsung secara sederhana.

“Namun saya tak nafikan ada banyak cerita menarik yang kita dapat menerusi temu bual bersama penduduk Lundu berkenaan keperluan dan juga sumber ekonomi mereka,” ujarnya lagi.

Penyelaras Pusat Media PRK N03 Tanjong Datu, Roszilawati di kaunter pendaftaran media

Penyelaras Pusat Media PRK N03 Tanjong Datu, Roszilawati di kaunter pendaftaran media

Sementara itu, bagi Penyelaras Pusat Media PRK N03 Tanjong Datu, Roszilawati Nor Aziz, Pusat Media tersebut telah dibuka sejak Jumaat lepas dan berfungsi untuk memberikan kemudahan kepada petugas media.

“Kita mula buka pada 3 Februari dari 8.30 pagi sehingga 10.00 malam. Kita menyediakan sebanyak lapan unit komputer riba untuk kemudahan para media dan satu ruangan untuk sidang akhbar. Sebanyak tiga talian Internet yang kita sediakan dengan kelajuan 100mbps bagi setiap satu talian,” jelasnya.

Petugas media sedang melihat profil kawasan yang disediakan

Petugas media sedang melihat profil kawasan yang disediakan

Ketika Hari Penamaan Calon pada Sabtu, Roszilawati berkata lebih 30 petugas media datang memenuhi ruang yang Pusat Media bagi menyiapkan tugasan masing-masing.

“Wartawan yang datang pada Sabtu di sini mencecah sehingga 30 orang tidak kira media tempatan dan Semenanjung seperti RTM, TV3, Utusan Sarawak, Bernama, Berita Harian, Malaysiaaktif, NST, dan banyak lagi.

“Ada juga Menteri yang datang melawat serta membuat sidang akhbar seperti Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sri Dr. Wan Junaidi dan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Abdullah Saidon,” ujarnya lagi.

Selain informasi berkenaan calon, latar belakang penduduk, pusat media turut menyediakan makanan bagi kemudahan para petugas media.

“Informasi, kita letakkan profil kawasan,profil  calon dan aktiviti yang akan berlangsung di sekitar Lundu yang kita akan kutip setiap hari untuk kemudahan wartawan bagi membuat liputan.

“Kita juga sediakan makan tengah hari, minum petang dan makan malam yang bukan sekadar makanan tradisional Sarawak tetapi ada juga makanan yang kita sesuaikan dengan wartawan Semenanjung yang datang,” ujarnya.

Bagi Wartawan Kosmo, Mohd Taufik Mohamed Salimin, pusat media kali ini banyak membantunya merancang aktiviti harian.

Antara jadual pergerakan kempen yang disediakan di Pusat Media

Antara jadual pergerakan kempen yang disediakan di Pusat Media

“Banyak maklumat yang boleh diperoleh. Selain keratan akhbar yang dikumpulkan, ada juga Whatsapp “Group” yang diwujudkan.

“Pergerakan kempen PRK kali ini banyak saya rujuk di situ. Selain memudahkan komunikasi dalam kalangan wartawan, berdasarkan maklumat yang ada kami dapat merancang perjalanan aktiviti pada setiap hari,” ujarnya yang ditemui petang tadi.

Menyentuh berkenaan tinjauan masyarakat Lundu berkaitan calon yang bertanding, Taufik berpendapat mereka masih memilih calon BN.

“Keadaan masih nampak lengang oleh sebab pencabar Puan Sri Jamilah bukanlah dalam kalangan calon yang kuat. Kebanyakan tinjauan yang saya lakukan di sekitar Lundu memang masih memilih calon BN,” ujarnya lagi.

Pusat Media N03 Tanjong Datu akan beroperasi sehingga 18 Februari ini.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda