
Oleh: Mohammad Abd.Rahman / Foto : FB YB Rosnah, Yusuf Talib & Bomba Papar (Sabah)
PAPAR, 5 Feb (Malaysiaktif) – Tiada siapa yang suka ditimpa musibah namun tiada siapa tahu bila musibah akan menimpa, yang pasti musibah ialah salah satu dugaan kepada hamba-hamba-Nya yang sabar.
Pepatah ada menyebut berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, rasa sedih dan pasrah melihat rumah hangus terbakar terlalu perit untuk dikenang.
Mangsa, Jasni Osman, 40, meluahkan rasa reda dengan perkara yang menimpa dirinya sekeluarga apabila rumahnya di Kampung Pituru, Kinarut musnah dalam satu kejadian kebakaran pada Khamis.
“Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang mahu pun dokumen penting kerana api terlalu cepat merebak, apa yang saya terfikir adalah untuk menyelamatkan ahli keluarga.
“Terima kasih Pengerusi Masjid Lokawi, Abdul Razak Duraman, Pengerusi JKKK Pekan Lokawi, Yusuf Talib, Jabatan Kebajikan Papar serta semua pihak yang membantu kami sejak kejadian ini berlaku.
“Terima kasih Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Ahli DUN Kawang, Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar atas bantuan diberi kepada kami.
Demikian luah Jasni kepada Malaysia Aktif semasa ditemui pada Selasa sambil meluahkan rasa syukur terhadap bantuan yang diterima oleh mereka sekeluarga.
Kebakaran yang berlaku turut memusnahkan lapan buah rumah papan lain yang mengakibatkan lebih 40 penghuni hilang tempat tinggal.
Ketika kejadian Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Papar, Dunstan Peter, menceritakan kejadian tersebut bahawa pihaknya menerima panggilan tentang berlakunya suatu kebakaran rumah pada 7.02 pagi dan mengerakkan kekuatan petugas seramai 19 anggota bersama lima jentera sebelum tiba di lokasi pada 7.25 pagi.
“Kebakaran membabitkan lapan rumah jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya sebelum ketibaan pihak bomba.
“Operasi terkawal pada 8.00 pagi dan punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan. Operasi ketika itu turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Penampang, Bomba Tentera dan anggota polis, jelasnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Pekan Lokawi, Yusuf Talib, 68, berkata kejadian kebakaran rumah di kawasan tersebut merupakan kejadian kali yang ketiga sejak 2015.
“Kali terakhir berlaku pada awal Disember lepas, lebih kurang 300 meter dari tempat kejadian tersebut.
“Diharap penduduk perlu lebih berwaspada dan mengambil iktibar terhadap kejadian ini untuk lebih berhati-hati dengan situasi atau keadaan dalam rumah untuk mengelak kejadian sebegini yang kerap berlaku di kawasan ini.” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Aktif.
Jasni bersama 15 buah keluarga yang ditempatkan sementara di Dewan Lokkawi Kinarut, melahirkan rasa syukur atas bantuan diberikan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Rosnah bersama pemimpin pembangunan masyarakat Kawang, Datuk Juil Nuatim telah yang menziarahi mangsa sambil turut memberikan bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran terlibat.