Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

[VIDEO] Sebulan Pemergian ‘Apai Besar’ Sarawak

By 10 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Syed Fauzi Syd Mostapa/ Foto: Jaed Tepus

LUNDU, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Hari ini genap sebulan pemergian Apai Besar Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. Bukan sahaja kemajuan Lundu dicanang sebagai bukti kehebatannya malah beliau turut dianggap punca pembangunan harmoni yang berlaku di seluruh Sarawak.

Tinjauan Malaysiaaktif mendapati penduduk Lundu rata-rata masih merindui kehadiran arwah. Menurut peniaga yang ditemui di Medan Selera Lundu pagi tadi, Aliza Mat, 48, dia paling rindu akan ucapan arwah.

Memang banyak kenangan dengan arwah sewaktu datang ke Lundu. Ucapan beliau yang kami nanti-nantikan. Tak pernah jemu. Setiap kali ada sahaja perkara menarik yang dikongsi.

“Tak mengantuk kami dibuatnya. Mendengar ucapannya budak-budak pun suka. Dia punya slogan, Ooo haa, you…you! memang akan sentiasa terpahat di hati kami,” ujarnya yang menganggap Puan Sri Jamilah mempunyai peluang yang cerah dalam Pilihan Raya Kecil yang akan berlangsung pada 18 Februari ini,” ujarnya.

Bagi penduduk Kg Stunggang Dayak, Julie Niel Noel, 40 dan Linda Wilfred, 49, Tok Nan yang menjadikan Pekan Lundu yang dulunya suram kini maju.

Julie Niel Noel, 40 dan Linda Wilfred, 49

Julie Niel Noel, 40 dan Linda Wilfred, 49

“Kalau sebelum ni Pekan Lundu agak suram tetapi sekarang ada sedikit perubahan dan maju. Kini ada sekolah, dewan masyarakat, medan selera untuk sama-sama kita nikmati.  Tanpa Tok Nan, pasti tak jadi semua ini,” ujar mereka lagi.

Sementara itu, guru pencen, Richard Noming Juhi, 61 menyatakan jasa arwah dapat digambarkan menerusi bangunan-bangunan yang ada di Pekan Lundu kini.

“Memang sejak dia memimpin sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima, dareah Lundu dan Sematan berbeza berbanding sebelum ini. Sebab banyak pembangunan sudah dirancang dan telah dibangunkan seperti yang kita lihat sekarang.

“Medan selera, tebingan Lundu, tebingan Sematan, CENTEXS, Kolej Matrikulasi juga dalam perancangan dan Pan Borneo Teluk Semano dan Sematan juga dalam proses pembinaan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyingkap kenangan bersama arwah ketika merasmikan Medan Selera Lundu pagi tadi.

“Oleh sebab Tok Nan sudah tiada bersama-sama kita, saya rasa amat terharu kerana apabila saya di rumah rehat sebelum saya sampai di sini ada satu gambar atas dinding ketika kami menghadiri satu perhimpunan.

“Saya mengangkat tangan Tok Nan kerana sebagai Apai Besar Malaysia kata arwah, saya nak Tok Nan memimpin BN Sarawak dan mencapai kemenangan dengan begitu cemerlang sekali.

“Gambar itu saya minta hantar ke Seri Perdana. Saya akan gantung bukan sahaja sebagai kenangan dan ingatan tetapi atas persahabatan peribadi yang begitu mendalam antara saya denganTok Nan.

Najib Razak ketika ditemui pada Majlis Perasmian Medan Selera Lundu

Najib Razak ketika ditemui pada Majlis Perasmian Medan Selera Lundu

Pada majlis itu, Najib turut menyatakan kenangan ketika melawat Tok Nan ketika jatuh sakit di Institut Jantung Negara (IJN).

“Ramai yang tak tahu apabila arwah di IJN dahulu saya telah melawat Tok Nan yang pada ketika itu begitu kritikal sekali.

“Saya cakap fikir sedalam-dalamnya kalau nak buat keputusan untuk menggantikan jantungnya dengan jantung mekanikal. Saya kata pada dia minta fikir kerana saya tak mahu dengan jantung tersebut, arwah perlu usung generator.

“Alhamdulillah Tok Nan membuat keputusan untuk tidak menggunakan jantung mekanikal dan kembali sihat lalu diangkat sebagai Ketua Menteri Sarawak,” ujarnya  yang menganggap jasa Tok Nan bukan hanya kepada Lundu tetapi Sarawak secara keseluruhannya.

Tok Nan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Januari lepas akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan.

Perjuangan Arwah bakal diteruskan oleh isterinya, Puan Sri Jamilah yang merupakan calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung pada 18 Februari ini.

-SF

Tinggalkan komen anda