
Laporan dan foto oleh: Ramasamy Amas (Jempol)
BAHAU, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Kerajaan tidak pernah mengabaikan Sekolah Tamil dan Cina dalam meluluskan peruntukan pada setiap pembentangan bajet sejak 2009 sehingga sekarang.
Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan berkata demikian ketika menyampaikan cek peruntukan khas Projek Penyelenggaraan Kecil Tahun 2016 kepada tujuh Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) di Jeram padang, di sini semalam.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperuntukkan RM50 juta bagi penyelenggaran kecil SJKT dalam bajet 2016 yang melibatkan 366 sekolah bantuan kerajaan dan 158 sekolah kerajaan.
Jelas Kamalanathan, pada fasa pertama peruntukan sebanyak RM16.5 juta telah diagihkan sepenuhnya kepada sekolah-sekolah bantuan kerajaan yang layak, manakala dana peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaran kecil SJKT yang bernilai RM16.5 juta juga telah diagihkan kepada 251 sekolah mengikut negeri.
Katanya, di Negeri Sembilan sahaja sebanyak 33 SJKT bantuan kerajaan telah menerima peruntukan sebanyak RM2,180.000, termasuk tujuh SJKT di Jeram Padang dengan peruntukan sebanyak RM420,000. Setiap sekolah menerima antara RM50 ribu hingga RM80 ribu berdasarkan kepada keperluan Sekolah berkenaan.
Tambah Kamalanathan, dia akan tetap melaksanakan tanggungjawab untuk memenuhi keperluan prasarana dan pembangunan fizikal SJKT.
Kamalanathan turut menyarankan agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Ahli Lembaga Sekolah berkerjasama dan berganding bahu dalam meningkatkan taraf mutu pendidikan pelajar ke taraf yang lebih tinggi.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L Manickam berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana sekolah Tamil, malah sentiasa membantu apa jua keperluan, termasuklah mendapatkan kelulusan tapak tanah untuk membina bangunan baru sekolah atau bangunan tambahan seperti yang dilaksanakan di SJKT Cairo, SJKT Saga, SJKT Jawa Lin dan SJKT Sendayan.
Pada majlis yang sama, Manickam turut membidas tuduhan beberapa individu tidak bertanggungjawab di media sosial dan akhbar Tamil yang menyatakan tentang ketidakprihatinan pemimpin MIC terhadap pembangunan sekolah Tamil sebagai tuduhan tidak berasas.
– AH