
Laporan & foto oleh : Mohamad Zairin Mohamad Zin
SHAH ALAM, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Masjid, surau dan Kelas-kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) merupakan benteng pertahanan aqidah dan jati diri umat Islam di Negeri Selangor. Melalui masjid, surau dan sekolah agama, syiar Islam yang suci dapat disebarkan kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, guru-guru KAFA perlulah mendalami, memahami dan mengikuti Mazhab Ahlus Sunnah Wal Jamaah secara berhemah dan teliti agar apa yang disampaikan kepada pelajar dapat diamalkan serta tidak terpesong daripada aqidah mereka.
“Guru KAFA adalah pendidik yang penting dalam masyarakat Islam. Mereka mestilah mendidik kanak-kanak ini untuk mempunyai sifat-sifat terpuji dan mempunyai rasa toleransi antara satu sama lain serta berusaha mengeratkan silaturahim sesama Islam,” titah Sultan Selangor ketika merasmikan Program Multaqa Pegawai Masjid Dan Surau, Guru KAFA Dan Guru Takmir Negeri Selangor bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Program Multaqa Pegawai Masjid Dan Surau, Guru KAFA Dan Guru Takmir Negeri Selangor.
Tambah baginda, pegawai dan ahli jawatankuasa masjid dan surau mestilah menjalankan tugas-tugas mereka dengan jujur, telus dan amanah. Mereka tidak boleh berpuak-puak sehingga masjid dan surau menjadi arena dan tempat mereka cuba menumbangkan antara satu sama lain untuk kepentingan sendiri.
“Pegawai-pegawai masjid hendaklah berwaspada dan memastikan masjid tidak dijadikan tempat untuk berpolitik dan lokasi berbalah sesama kariah. Mereka juga perlu memantau dan menjaga kebersihan masjid dan kawasan sekitar dengan sempurna untuk keselesaan para jemaah,” titah baginda lagi.
Dalam majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menerima cek bernilai RM41.8 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom bagi bayaran imbuhan imam, elaun guru KAFA, guru takmir, bilal dan siak bagi Negeri Selangor.
Turut hadir pada program ini adalah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Haji Mohamad Adzib Bin Mohd Isa, dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Haji Othman Mustapha,
-MSM