Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

[VIDEO] LIMA’17 Bukan Masa Naik Harga Barang, Perkhidmatan

By 22 Mac 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan /foto oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

LANGKAWI, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Secara umumnya, harga barang dan perkhidmatan di Pulau Langkawi masih kekal seperti biasa walaupun sepanjang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ’17) berlangsung sekarang ini.

Menyangkal dakwaan kononnya harga makanan, penginapan, perkhidmatan dan barang melonjak sepanjang acara tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Haji Azizan Noordin berkata pihaknya bersama Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) telah mengadakan perbincangan dengan semua pihak,termasuk pengusaha hotel, kereta sewa, teksi, pemilik kedai dan restoran supaya memastikan harga tidak dinaikkan sesuka hati.

Seorang pengunjung ke Langkawi yang ditemui, Muhammad Amirul Syazwan, 25, turut mengesahkan hakikat ini apabila ditanya tentang harga makanan di sini sepanjang LIMA ’17.

Dia membandingkan harga di Langkawi dengan harga di Kuala Lumpur yang menurutnya lebih mahal.

Muhammad Amirul antara puluhan petugas urus setia penganjuran pelbagai acara LIMA’17 yang berlangsung dari 21 hingga 25 Mac ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Pelanggan sebuah hotel di Pantai Chenang, Nor Shazlina Izati, 24, berkata, pihaknya tidak mengenakan sebarang caj tambahan untuk makanan ketika berlangsung acara tersebut.

Menurutnya, jika sebelum LIMA’17 harga untuk bufet sarapan pagi RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, harga itu juga digunakan selama acara ini berlangsung.

Nor Shazlina berkata cuma harga bilik dinaikkan sebanyak RM30 bagi sebuah bilik. Walau bagaimanapun pihak hotel tidak akan mengambil kesempatan sekiranya ada pelanggan yang datang pada saat akhir untuk mendapatkan bilik, malah akan membantu mereka seadanya.

Ini terbukti ketika temu bual ini dilakukan, dua orang petugas media yang gagal mendapatkan bilik di hotel yang ditempah melalui perkhidmatan dalam talian Agoda, dibantu Nor Shazlina dengan mendapatkan bilik pada kadar harga biasa.

Bagi pengusaha permainan air, Muhammad Suhael Amir Rosdy, 23, walaupun semakin ramai pelancong dan pelawat tiba untuk LIMA ’17 setiap hari, dia tetap tidak akan menaikkan harga perkhidmatan yang ditawarkannya.

Sementara menantikan LIMA’17 dibuka kepada orang ramai esok, hari-hari sebelumnya telah diadakan pelbagai acara terbuka, seperti pertunjukan udara.

Siri ke-14 acara bertaraf dunia ini hanya diadakan dua tahun sekali sejak 1991.

 

-AAS

Tinggalkan komen anda