
Laporan / foto oleh Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)
LANGKAWI 22 Mac (Malaysiaaktif) – Acara dwi tahunan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA’17 ) yang diadakan sejak 1991 kini sedang berlangsung dari 21 hingga 25 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) .
Selain menarik minat pemain dalam industri maritim dan aeroangkasa, acara ini juga membuka ruang untuk anak muda terlibat secara langsung dengan penganjuran acara besar bertaraf antarabangsa.
Pegawai Elite (EO) yang juga pelajar Undang-undang Universiti Multimedia Melaka (MMU), Athirah Abdul Satar, berkata dia berpeluang untuk belajar berinteraksi, dan berurusan dengan para perwakilan delegasi asing melalui skopnya dalam menjaga delegasi dari negara Laos.
Seketariat Media, Hanna Khalida Awaluddin, pula telah lima hari berada di Langkawi, sejak sebelum LIMA’17 bermula.
Sebelum dihantar ke sini, mereka dilatih selama dua hari di Kuala Lumpur mengikut kategori dan skop tugas yang diagihkan.
Baginya tugas menguruskan keperluan media tempatan dan luar negara dalam acara sebesar ini memberikan keyakinan sebagai persiapan apabila berada dalam alam pekerjaan selepas habis belajar kelak.
Pegawai Prospect Consulting Malaysia yang merupakan perunding pekerja untuk LIMA ’17, Kal Randhawa, berkata ini kali pertama LIMA memberi ruang secara menyeluruh kepada golongan remaja supaya terdedah kepada penganjuran acara bertaraf antarabangsa.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Azlan Abd Majid, seramai 600 orang remaja dan belia dari Briged Sukarelawan Khidmat Negara dikerahkan untuk penganjuran LIMA’17 melalui program Belia dan Pertahanan sejak LIMA’15.
Program ini diusahakan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Belia dan Sukan sebagai modul pendedahan kepada industri dan hala tuju pertahanan negara.
Seramai 400 orang peserta terlibat dengan inisiatif ‘Town Hall’ TN50 sementara 200 orang terbabit terus dalam usaha menjayakan upacara Perasmian LIMA’17.
Sementara itu, hari kedua LIMA’17 menyaksikan lebih 20,000 orang pelawat perdagangan hadir di lokasi yang ditempatkan sejumlah 555 buah gerai pameran.
Hari ini juga menyaksikan tujuh pasukan mempersembahkan pertunjukan aeroangkasa, iaitu Russian Knights, Rafale, Black Eagles, Gripen,SU 30 MKM, Jupiter, F/A 18D dan T – 50B.