Skip to main content
Berita TempatanSabah

280 Perahu Sertai Regatta Lepa 2017

By 23 April 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh: Fauzrina Hj Bulka / Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)

SEMPORNA, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Pesta Regatta Lepa yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat telah disertai oleh 280 buah perahu yang dihias cantik dengan sambulayang atau bendera.

12 daripada lepa tersebut pula menyertai Pertandingan Lepa Tradisi yang juga mewakili 12 kampung yang terdapat di sekitar perairan Semporna.

Menurut Pengerusi Pertandingan Lepa Tradisi dan Perahu Berhias, Zainal Jalaludin, penyertaan bagi Perahu Berhias meningkat berbanding tahun lepas.

 

Antara lepa yang menyertai Festival Regatta Lepa 2017

Antara lepa yang menyertai Festival Regatta Lepa 2017

“Untuk pertandingan kali ini saya lihat para peserta benar-benar faham cara memasang sambulayang yang betul mengikut tradisi asli selepas mereka menghadiri kursus yang kami buat,” ujarnya.

Tambahnya, ini penting kerana setiap bahagian yang ada pada sambulayang perlu diletakkan di tempat yang betul seperti yang dilakukan dalam tradisi sebelum ini.

“Dua aspek akan diambil kira ketika membuat penjurian seperti kehalusan dan keaslian corak seni ukiran yang terdapat pada badan lepa serta hiasan dan kedudukan sambulayang itu sendiri.

“Persaingan agak sengit kali ini, dan para juri perlu berbincang untuk memilih lepa yang benar-benar menepati aspek-aspek yang kami tetapkan,” katanya.

Pada tahun ini, Pertandingan Lepa Berhias dimenangi oleh Biskai Mastal dari Kampung Tonggulangan dengan membawa pulang RM5000 berserta sijil manakala Naib Johan milik Sanungan Bulungan mewakilli Kampung Umadal yang membawa pulang RM4000 beserta sijil.

Tempat ketiga yang membawa pulang RM3000 berserta sijil pula dimenangi Manurat Mangkarat dari Kampung Tampi-tampi Timbayan.

Sementara itu, Sanungan yang telah 24 tahun menyertai Pertandingan Lepa Berhias ini berkata, kos yang digunakannya tahun ini mencecah RM5000.

Sanungan (dua dari kanan)menghulur berian kepada Sakaran

Sanungan (dua dari kanan)menghulur berian kepada Sakaran

“Anak-anak banyak terlibat dan membantu untuk membuat sambulayang manakala ukiran pula saya lakukan sendiri kerana selain pelaut, saya juga merupakan pengukir kayu,” katanya yang berusia 80 tahun.

Kata Sanungan, kerja-kerja ukiran dan menyediakan sambulayang dilakukan secara berperingkat bermula tahun lepas dan berjaya disiapkan sepenuhnya untuk dipertandingkan kali ini.

Selain pertandingan perahu lepa, beberapa acara sukan melibatkan perahu seperti lumba perahu, tarik perahu secara berkumpulan, persembahan kebudayaan turut diadakan bagi memeriahkan lagi perayaan ini.

Antara sukan air yang berlangsung

Antara sukan air yang berlangsung

Perayaan Regatta Lepa kini mempunyai nilai estetika yang tinggi dan telah mengangkat nama daerah Semporna dan Sabah sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang menarik di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Ramlee Marahaban menjelaskan Lepa ialah peninggalan budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman oleh suku kaum Bajau Semporna.

“Sejak kurun ke-14, Lepa merupakan pengangkutan utama untuk membawa muatan pedagang tempatan ke Kepulauan Sulu, Borneo dan Kalimantan.

“Lepa juga dikatakan digunakan oleh pendakwah untuk menyebarkan agama Islam di rantau Asia Tenggara pada awal kurun ke-15,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bugaya.

“Oleh sebab itu, lepa dianggap sebagai satu elemen penting dalam hidup dan telah sebati dengan tradisi Bajau dan berpengaruh dalam perkembangan seni budaya tempatan.

“Dalam persembahan kebudayaan, alat-alat muzik tradisional ataupun tagungguh akan dimainkan di atas lepa sebagai lambang keagungan dan warisan budaya Bajau Semporna dan masih wujud hingga kini,” katanya ketika ditemui di Dataran Regatta Lepa semalam.

Kunjungan meriah masyarakat Semporna

Kunjungan meriah masyarakat Semporna

Tambahnya, di sebalik perayaan ini terselit mesej kepada masyarakat supaya kuat dari aspek mental dan fizikal umpama sebuah lepa yang kuat serta gah belayar di lautan.

“Jika dahulu masyarakat leluhur kita mampu berdagang, berdakwah dan mencari rezeki dengan hanya menggunakan sebuah lepa, mengapa kita yang dibekalkan pelbagai kemudahan tidak mempu menandingi kehebatan mereka,” ujarnya.

Datuk Ramlee juga berharap usaha memartabatkan dan memelihara warisan budaya Bajau ini digerakkan secara proaktif selaras dengan perkembangan dunia sekarang yang semakin mencabar agar tidak ditelan zaman.

“Saya ingin menyarankan agar pengusaha-pengusaha pelancongan memikirkan cara untuk memasarkan perahu lepa ini bagi menarik pelancong yang bukan sahaja dinikmati setahun sekali tetapi secara mudah-capai-guna,” katanya.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun serta bekas Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai.

SF

Tinggalkan komen anda