Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Kelembutan Legenda Arung Salamiah Cetus Inspirasi

By 24 April 2017April 25th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Oleh Fauzrina Hj Bulka /Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)

SEMPORNA, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Generasi muda hari ini pasti ada yang tidak pernah mendengar nama Arung Salamiah, seorang gadis cantik yang berhadapan masalah cinta penuh dramatik dengan pemuda sekampung bernama Tanjung Kalang.

Bagi memperkenalkan semula legenda sejarah cinta klasik pasangan kekasih tersebut, Pertandingan Ratu Lepa dan Anugerah Arung Salamiah pasti diadakan serentak dengan Sambutan Regatta Lepa yang disambut pada April saban tahun.

Menurut penduduk tempatan, Sanungan Bulungan, 80 kisah tersebut berlaku sebelum abad ke-18 masihi ketika Arung Salamiah membuat persembahan tarian dalam satu temasya.

Sanungan Bulungan

Sanungan Bulungan

“Salamiah seorang penari yang baik, para penonton pasti menikmati kelembutan ketika dia mengigal, liuk-lentok badannya dapat menggambarkan perasaannya sama ada gembira, sedih atau marah,” jelasnya.

Tarian igal-igal ialah tarian tradisional suku kaum Bajau. Perkataan igal diambil daripada perkataan Inggeris, ‘eagle’ yang bermaksud helang, oleh sebab itu gerak tari igal-igal seperti gerakan seekor helang.

Mengulas lanjut, menurut Sanungan, Anung Salamiah dipinang oleh Datu Atik, yang terkenal sebagai seorang yang zalim dan mempunyai ramai isteri, kerana tertarik melihatnya membuat persembahan.

“Keluarga Salamiah terpaksa menerima pinangan tersebut kerana menghormati keluarga ternama itu dan demi menjaga maruahnya, Salamiah melarikan diri ke sebuah gua dan dikatakan ghaib ketika bersembunyi.

“Tetapi hingga kini ada yang mengatakan melihat kelibat Salamiah di gua tersebut sedang mengintai seolah-olah menanti kekasihnya yang telah pun dibunuh oleh pengikut-pengikut orang bergelar tadi,” jelasnya ketika ditemui di Dataran Regatta Lepa.

Menurut Sanungan, dia mengharapkan agar peserta yang menerima anugerah Anung Salamiah dapat mencontohi keperibadian wanita legenda tersebut yang bukan sahaja cantik dan pandai menari, tetapi juga bijak.

Noorainah menerima selempang Ratu Lepa 2017 setelah berjaya menewaskan tujuh peserta lain.

Noorainah menerima selempang Ratu Lepa 2017 setelah berjaya menewaskan tujuh peserta lain.

“Mereka mestilah mempunyai semua kombinasi ciri Salamiah agar dapat menjadi contoh kepada para gadis keturunan Bajau untuk sentiasa menjaga maruah dan keperibadian yang tinggi sebagai seorang wanita,” katanya.

Anugerah Arung Salamiah pada tahun ini berjaya dimenangi oleh gadis berasal dari Kampung Tampi-Tampi Timbayan, Noorainah Manura, 23 selepas menewaskan tujuh peserta lain.

“Ini merupakan kali ke-lapan penyertaan saya dalam pertandingan ini. Sepanjang menyertainya sebelum ini, saya pernah meraih tempat kedua dan ketiga, di samping memenangi busana dan juga penampilan terbaik,” katanya.

Menurut Noorainah, dia sering mengigal di majlis-majlis perkahwinan dan di rumah sebagai latihan sebelum pertandingan dengan bantuan ibu dan keluarga.

Tambahnya, Kaum Bajau merupakan kaum yang sangat unik kerana mempunyai firasat yang kuat seperti boleh merasai angin melalui deria bau dan mengetahui arah angin.

“Igal juga sama kerana bersifat semula jadi, tanpa berlatih pun kaum Bajau akan tetap pandai menari kerana mengigal melalui hati,” katanya.

Noorainah turut berharap agar generasi muda kini menanam semangat cinta akan warisan budaya dan tidak berasa malu untuk mengangkat martabat budaya bangsa sendiri agar tidak ditelan zaman.

Noorainah telah membawa pulang Anugerah Arung Salamuah untuk tahun 2017, wang tunai RM1500 dan juga sijil penyertaan.

IMG_2910

Ketua juri, Zaitun Aki Basha

Sementara itu, Ketua Juri Pertandingan Ratu Lepa, Zaitun Ali Basha berkata, untuk tahun ini beberapa aspek ditambah dalam proses penjurian.

“Jika sebelum ini, pemenang dipilih hanya berpandukan persembahan mengigal, tetapi untuk tahun ini, peserta akan ditanya soalan berkaitan kaum Bajau bagi menguji kebijaksanaan dan pengetahuan mereka,” katanya.

Beliau turut berharap agar bersempena Sambutan Jubli Perak Regatta Lepa 2018 tahun depan, lebih ramai penyertaan akan diterima dan tidak hanya disertai daripada gadis kaum Bajau sahaja, tetapi juga daripada kaum lain dari luar daerah.

SF

Tinggalkan komen anda