Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

COIR Dekatkan Komuniti Dengan Sungai

By 13 April 2017April 15th, 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

 Laporan oleh Mohd Shahqrul Azim Shaari / Foto: Nurul Aini Mohd Kasran (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI , 13 Apr (Malaysiaaktif) – Menjadi sumber bekalan air dan laluan perhubungan, sungai juga boleh dijadikan lokasi untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti pelancongan air di tepian sungai.

Bagi membentuk sikap rakyat dalam menjaga kebersihan sungai, Program ‘Community In River’ (COIR) Peringkat Daerah telah dilancarkan di sini, pada Ahad.

Menurut seorang pengunjung yang berasal dari Bandar Penawar, Nor Azmira Razali, 25, dia merasakan program ini dapat mencetus kembali kempen ‘Cintailah Sungai Kita’ yang pernah hangat suatu masa dahulu.

“Program anjuran kerajaan negeri ini dapat menaikkan semangat anak muda seperti saya mencintai sungai. Saya berharap dengan penglibatan Majlis Belia Daerah dapat merancakkan aktiviti-aktiviti sukan air yang mana anak muda seperti saya dapat menyertainya,” katanya.

Pemenang Pertandingan Memasak Ikan Siakap Tiga Rasa kategori Lelaki, Zaharin Muhd Dul

Seorang lagi peserta yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Memasak Siakap Tiga Rasa, Zaharin Muhd Dul, 28, memberitahu berasa seronok dengan inisiatif yang diambil pihak kerajaan dalam melaksanakan program ini.

“Pertandingan ini lain daripada yang lain kerana ikan siakap yang hendak dimasak ditangkap terus dari Sungai Johor ini. Ini membuktikan Sungai Johor adalah sungai yang bersih dan tahniah kepada masyarakat di sekitar kawasan ini kerana dapat menjaga kawasan sungai dengan baik,” katanya Zaharin yang menjuarai Pertandingan Memasak Ikan Siakap Tiga Rasa kategori Lelaki.

Sungai yang selama ini suram diceriakan dengan pelbagai acara yang dilaksanakan sepanjang dua hari program ini berlangsung seperti Pameran agensi kerajaan, kuiz Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pertandingan tarik tali dalam perahu, pertandingan memasak siakap tiga rasa dan pertandingan menangkap itik.

Pertandingan Memasak Ikan Siakap Tiga Rasa kategori Perempuan telah dimenangi oleh Asrein Hassan dari Kampung Tanjung Buai. Juara bagi setiap pertandingan berjaya membawa pulang hamper sumbangan JPS.

Pertandingan Menangkap Itik

Menurut Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat, daerah Kota Tinggi merupakan daerah ketiga di Johor yang bakal menerima manfaat daripada program ini.

“Program COIR ini akan memberi hak kepada Majlis Belia Daerah untuk merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti berasaskan air bagi mengelakkan pencemaran sungai yang akan merugikan masyarakat,” katanya.

Antara projek yang akan memberi manfaat kepada masyarakat sekitar ialah penaiktarafan tebing sungai dan pengindahan lanskap di sekitar kawasan Teluk Sengat yang berhadapan Sungai Johor.

Datuk Ayub Rahmat merasmikan Program Community In River

Program anjuran JPS dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Kota Tinggi ini bertujuan untuk mendekatkan lagi hubungan antara jabatan kerajaan, agensi swasta, belia dan komuniti yang tinggal berhampiran dengan sungai.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrasyid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md Ariff, ADUN Sedili, Rasman Ithnain, ADUN Tanjung Surat, Datuk Ir. Syed Sis Syed Abdul Rahman dan Pengarah JPS Johor, Ir. Che Mohd Dahan Che Mohd Jusof.

 

– AH

Tinggalkan komen anda