Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelaka

Jaminan Peluang Pekerjaan, Perpaduan Kaum Aspirasi Belia Jasin

By 12 Mei 2017Mei 14th, 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Oleh Salina Hasan @ Abd Rashid / Foto: Nur Hafif Zainurdin

JASIN, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Transformasi Nasional 2050 (TN50) suatu landasan bagi mendengar aspirasi orang-orang muda. Melalui pendekatan ini, aspirasi ini dijadikan penanda aras pembangunan negara agar setaraf negara maju.

Menurut pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin, Mohd Anas Fazli, 19, aspirasinya adalah agar pihak Kerajaan dapat membuka lebih banyak peluang kepada bakal-bakal graduan masa ini.

Muhammad Anas Fazli Salehpudin

Muhammad Anas Fazli Salehpudin

“Saya sebagai bakal graduan merasa gusar dengan rakan-rakan yang telah tamat pengajian namun masih belum mendapat sebarang pekerjaan,” luahnya ketika ditemui di Sesi Dialog TN50 di Dewan Alamanda, di sini, pada Isnin.

Selain itu, seorang guru Tabika Perpaduan di sini, Selvarani Katharasan, 32, berpendapat agar semua urusan kerajaan dan swasta tidak perlukan ruang untuk agama dalam sebarang borang yang digunakan.

“Cuma diwujudkan satu ruang sahaja iaitu Bangsa Malaysia supaya dapat memupuk perpaduan sekaligus menunjukkan identiti sebagai Bangsa Malaysia,” ujarnya.

Selvarani Katharasan

Selvarani Katharasan

Sementara itu, dalam kenyataan balas oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, selaku panel sesi dialog tersebut, pihak Kerajaan sentiasa prihatin dengan peluang pekerjaan kepada graduan atau bakal graduan di negara ini.

“Oleh sebab itu, Kerajaan mewujudkan pelbagai program seperti Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang telah dilancarkan pada 1 Jun 2011 untuk membantu para graduan meningkatkan tahap keupayaan diri dengan ilmu dan kemahiran agar sesuai dengan kehendak pasaran sekarang.

“Di Jasin ini sahaja memang banyak pekerjaan. Tambahan lagi dengan adanya kilang kaca berteknologi hijau di Lipat Kajang sudah pasti para graduan berpeluang membina kerjaya di sana,” jelasnya.

Datuk Seri Idris Haron ketika sesi soal jawab TN50

Datuk Seri Idris Haron ketika sesi soal jawab TN50.

Idris juga memberikan maklum balas berhubung perpaduan kaum yang sentiasa menjadi topik perbincangan hangat segenap lapisan masyarakat.

“Kita lihat sejarah kemerdekaan tanah air di mana rakyat tak kira kaum, bangsa atau kepercayaan, semuanya inginkan merdeka dan bebas dari cengkaman penjajah. Dari semangat inilah Malaysia akhirnya merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957.

“Jadi, apa yang membezakan kaum India dari kaum yang lain? Kerana kita semua adalah Bangsa Malaysia sejak merdeka dan kesamaan ini perlu diguna pakai oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda