Skip to main content
Berita TempatanSabah

Bangga Bawa Obor Sukan Sea 2017

By 8 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Muhammad Khairul Azad Yunus & Awgku Shoffian Pg. Minggu/ Foto: Volontine & Johny George Kimlon (Sabah)

KOTA KINABALU, 8 Jun (Malaysiaaktif) – Seorang peserta Larian Obor Temasya Sukan SEA kali ke-29 dan Para Asean ke-9 Kuala Lumpur 2017, Fariz Abd Rani, 38, merasa bangga dapat membawa sendiri obor berkenaan sejauh kira-kira 80 meter.

Menurutnya, walaupun jarak itu tidak terlalu jauh tetapi sudah cukup baginya untuk merasa sangat bangga kerana dapat menjayakan program tersebut.

Raymond menerima obor daripada Fariz untuk diarak ke Segama Waterfront.

Raymond menerima obor daripada Fariz untuk diarak ke Segama Waterfront.

“Selama beberapa hari ini, saya hanya mengikuti perkembangan Larian Obor ini hanya menerusi laman sosial Facebook sehingga Menteri Belia dan Sukan Malaysia, ?Khairy Jamaluddin membawa obor itu ke puncak Gunung Kinabalu.

“Hari ini, saya tidak sangka dipilih untuk membawa obor itu sendiri dan menjadi sebahagian daripada sejarah penganjuran Sukan Sea Kuala Lumpur 2017,” katanya teruja.

Tambah Fariz lagi, itu juga sebahagian pengiktirafan kepada golongan kelainan upaya (OKU) sepertinya yang tidak dikecualikan daripada sebarang program-program kemasyarakatan.

“Amat penting dalam program-program besar seperti ini golongan OKU terus dilibatkan agar kami dapat memberi sumbangan kepada negara,” katanya lagi.

Fariz yang juga Pengerusi Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu turut berharap kontinjen negara termasuk kontinjen Paralimpik dapat memenangi banyak pingat emas sekali gus menjadi juara keseluruhan Sukan SEA kali ini.

“Kontinjen Paralimpik negara mempunyai kelebihan dalam acara-acara sukan yang menggunakan alat seperti kerusi roda dan handcycle racing dan saya amat berharap akan menjadi lubuk emas buat negara,” kongsinya yang ditemui selepas Larian Obor itu di Peringkat Bahagian Pantai Barat Kota Kinabalu, pada Rabu.

Fariz yang mengetuai ratusan peserta lain menyerahkan obor kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman? di Jesselton Point sebelum diarak ke Segama Waterfront.

Datuk Ahmad berlari bersama obor dari SMK Pengiran Omar ke Esplanade Sipitang.

Datuk Ahmad berlari bersama obor dari SMK Pengiran Omar ke Esplanade Sipitang.

Sementara itu, peserta, Azmi Murad, berasa teruja apabila dapat menyertai Larian Obor ini lebih-lebih lagi Sukan Sea ialah sukan terbesar rantau Asia Tenggara.

“Ini sajalah sumbangan kecil yang dapat saya sumbangkan kepada menjayakan sukan tersebut. Saya berharap agar peluang untuk memberi sumbangan ini tidak terhenti di sini.”

Demikian katanya yang merupakan Pegawai Imigresen Sipitang semasa menyertai Larian Obor peringkat Daerah Sipitang sebelum obor berkenaan diserahkan ke daerah Merapok sebagai destinasi pertama Larian Obor di Sarawak.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Ahmad Bujang berkata Larian Obor ini menunjukkan solidariti rakyat Malaysia seluruh pelusuk tanah air terutama di Sabah melalui medium sukan.

“Rakyat di daerah ini merasa teruja apabila menjadi destinasi akhir penyerahan obor ke negeri rakan iaitu Sarawak selain terlibat langsung dalam penganjuran Sukan Sea 2017.

“Penganjuran ini secara tidak langsung meletakkan nama daerah ini antara yang terlibat menjayakan sukan berprestij di Asia Tenggara dan menyertai larian ini juga cukup bermakna”.

Ahmad berkata demikian semasa merasmikan Larian Obor peringkat daerah Sipitang sebelum berangkat ke daerah Sindumin sejauh 20 kilometer bagi penyerahan obor ke daerah Merapok Sarawak.

Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 bakal berlangsung pada 19 Ogos hingga 31 Ogos ini.

SF

 

Tinggalkan komen anda