Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Ingin Jadikan Sabak Salai, Produk Warisan Terbaik Negeri Sembilan

By 15 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

 

Laporan / foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Sebut sahaja nama Sabak Salai pasti ramai sedia maklum produk daging salai yang terkenal di Komuniti 1 Malaysia Kg Kundur Ulu, Rembau, Negeri Sembilan.

Ilham untuk menghasilkan Sabak Salai itu dicetuskan seorang pesara tentera, Sajin Moosthapha, 60, untuk membina sabak iaitu tempat salai produk daging, ikan keli, ayam kampung, itik dan burung puyuh.
Bermula di Pasar Tani di Bandar Springhill, Port Dickson, dia melebarkan sayap di empat lokasi lain iaitu di Putrajaya, Masjid Tanah, Melaka, Bangi dan Lukut, Port Dickson.

Menurut anak kepada Sajin, Mohammad Taqdir, 32, yang kini telah mengambil alih urusan perniagaan Sabak Salai yang diusahakan oleh ayahnya dahulu, mereka menerima bantuan daripada pihak kerajaan.

“Dengan bantuan pemasaran dan pembungkusan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), produk salai kami mula mendapat sambutan memberangsangkan.

“Produk salai menjadi pilihan kerana mampu bertahan antara tiga hingga lima hari tanpa disimpan dalam peti sejuk. Produk yang dijual ialah daging, ayam kampung, itik, puyuh dan ikan sembilang.
Menurutnya lagi menyalai dengan sabak mengambil masa lama. Untuk daging mengambil masa empat jam, ayam dan itik tiga jam, puyuh dua jam dan ikan sejam.

“Teknik sabak salai bergantung kepada suhu asap daripada bara api menjadikan produk yang dipanggang sama rata, daging lebih lembut dan lembap selain tiada habuk kayu melekat.

“Kaedah salai ini berbeza dengan cara tradisional kerana produk disalai dengan sabak digantung menggunakan besi pemanggang menyebabkannya tidak menghasilkan karbon.

“Sebab itu hasil produk salai menggunakan sabak seperti daging atau ayam tidak semestinya hanya dimasak lemak atau rendang tetapi boleh dimakan begitu saja sebagai snek,” jelasnya yang ditemui Malaysiaaktif baru-baru ini.

Tetamu diberikan penerangan tentang daging salai

Tetamu diberikan penerangan tentang daging salai

Taqdir berkata, selepas lapan bulan perniagaan itu, sabak salai makin mendapat permintaan.

Daripada 20 kilogram (kg) daging lembu yang disalai pada awal pembabitannya, kini meningkat kepada 300kg seminggu.

Selain menjual terus kepada pelanggan, produk sabak salai juga dikeluarkan dalam bentuk sejuk beku berharga antara RM10 hingga RM15 setiap pek.

Menurut seorang pelanggan dari Kuala Lumpur Abdullah Sani, 51 yang ditemui semalam, berkata daging salai yang dibeli bersih.

“Saya akan singgah untuk makan bersama keluarga apabila saya pulang dari Kuala Lumpur ke Melaka untuk menikmati keenakan daging salai bersih, lembut dan boleh dimakan walaupun belum dimasak,” ujarnya.

Mohamad Taqdir Sajin memberikan penerangan tentang produk salai kepada peserta lawatan ke Sabak Salai Kg Kundur Ulu, Rembau.

Mohamad Taqdir Sajin memberikan penerangan tentang produk salai kepada peserta lawatan ke Sabak Salai Kg Kundur Ulu, Rembau.

Bagi seorang lagi pelanggan yang di temui berasal dari Muar Johor berkata daging salai yang diusahakan Taqdir menpunyai kelainan kerana rasa tidak keras, daging yang disalai masak tidak hangus itulah yang membezakan daging salai yang ada di sini.

Tambah Taqdir, ketika ini pengeluaran mencecah 1,000 pek sehari dipasarkan di beberapa buah kawasan sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Shah Alam dan Putrajaya serta Lembah Klang termasuk menerusi dalam talian dan 10 ejen.

“Fokus saya ketika ini untuk meningkatkan keupayaan termasuk aspek pembungkusan kerana mahu meluaskan empayar Sabak Salai ke pasar raya.

“Saya ingin menjadikan produk Sabak Salai, makanan warisan Negeri Sembilan ini sebagai produk terbaik,” katanya yang menghargai sokongan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) kerana banyak membantunya terutama dari segi khidmat nasihat dan kepakaran.

Menurut Taqdir, ahli keluarganya banyak membantu terutama ibu dan dua abangnya yang sanggup berhenti kerja untuk memberi fokus kepada perniagaan berkenaan. Perniagaan didaftarkan atas nama Taqdir Enterprise itu mendapat galakan penuh daripada FAMA yang turut membantu dalam mendapatkan tapak perniagaan.

Taqdir pernah memenangi Anugerah Industri Ilham Desa Cemerlang Zon Selatan 2014 dan peringkat kebangsaan 2015, anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

 

-SF/AAS

Tinggalkan komen anda