
Oleh: Hafizan Hamzah / Foto: Noor Suzilawati Jamaludin (Hulu Langat)
SEMENYIH, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma dalam kira-kira 10 hari lagi, kebanyakan orang Islam dan juga bukan Islam semakin tidak sabar menantikannya.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut prihatin akan golongan yang kurang berkemampuan dan baginda semalam berkenan memberikan sumbangan Hari Raya sebanyak RM175,500 kepada 351 orang rakyat Bandar Rinching, di sini.
Seramai 249 orang fakir miskin dan 102 orang mualaf menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang. Sumbangan tersebut sedikit sebanyak membantu mereka dalam persediaan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Bandar Rinching, Semenyih
Rata-rata penerima menyatakan rasa syukur di atas pemberian sumbangan tersebut daripada baginda.
Pada majlis yang sama, baginda turut berkenan menyempurnakan majlis perasmian Masjid Bandar Rinching dan memberi sumbangan RM10,000 kepada masjid tersebut.
Sultan Sharafuddin turut berbuka puasa bersama-sama rakyat di masjid tersebut sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Mufti Selangor, Datuk Seri Tamyes Abd Wahid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz.
-DZ