Skip to main content
Berita TempatanPahang

Pesta Panjut Hidupkan Malam Ramadan

By 19 Jun 2017Tiada komen3 minit bacaan

Oleh: Ismael Idris / Foto: Saiful Zalizan Yaacob (Pekan)

PEKAN, 19 Jun (Malaysiaktif) – “Jika dahulu Pesta Panjut lebih dikenali dengan malam tujuh likur yang memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri dengan sinaran lampu pelita yang menerangi setiap jalan kampung.

“Biasanya orang dahulu sekadar menggunakan bahan terpakai seperti tin susu atau tin biskut yang ditebuk. Kemudian diletakkan damar di dalamnya dan dibakar. Inilah yang membuatkan zaman dahulu setiap kampung lebih meriah setiap kali tiba Hari Raya.”

Demikian kata Penghulu Mukim Kuala Pahang, Hassan Mohd Shukor, 55, yang ditemui semasa Pesta Panjut Daerah Pekan yang berlangsung di Serambi Pekan petang tadi.

Tok Penghulu Hassan

Tok Penghulu Hassan

Pelita panjut ini cukup sinonim dengan budaya masyarakat Melayu terutamanya ketika minggu terakhir malam Ramadan yang dipasang dengan lampu-lampu minyak tanah sebagai bahan bakar yang diperbuat daripada buluh, tin susu dan seumpamanya.

Tambah Hassan, dahulu sebelum menjelang malam tujuh likur, masyarakat kampung di setiap rumah telah pun bersedia dengan persiapan peralatan seperti buluh dan lain-lain.

“Apabila menjelang malam tujuh likur, masyarakat kampung akan bersama-sama menyiapkan panjut bagi menyerikan suasana kampung sempena Aidilfitri yang bakal tiba,” jelasnya.

Peserta sedang membuat persiapan panjut

Peserta sedang membuat persiapan panjut

Hassan juga sempat mengimbau kenangan manis Malam Tujuh Likur ketika dia masih kecil. Keterujaannya menyebabkan dia leka sehingga ibunya terpaksa memanggilnya untuk pulang ke rumah kerana hari sudah lewat malam.

“Sudah pastinya buluh menjadi asas kepada pembuatan panjut tetapi ada juga kaedah lain yang saya guna semasa kecil iaitu mengambil pelepah kelapa yang kering dibulatkan dan diikat kemudian dipacak ke tanah dan dibakar hujungnya. Selain itu, sumbu juga diperbuat daripada guni beras atau dikenali sebagai guni perut hijau.

Naib Johan, Kumpulan GPMS Pekan

Naib Johan, Kumpulan GPMS Pekan

“Walaupun peredaran zaman berlaku, saya gembira kerana masih ada lagi program sebegini dijalankan yang boleh dianggap sebagai satu kesinambungan. Mungkin belia bandar tidak kenal apa itu panjut tetapi bila adanya program sebegini dapat diperkenalkan kepada generasi Y pada hari ni,” jelasnya.

Pesta Panjut anjuran Majlis Belia Daerah Pekan, diadakan bagi mengembalikan nostalgia Malam Tujuh Likur, selain membentuk belia Pekan yang kreatif dan berkeyakinan tinggi selain mengimbau kenangan suasana sambutan Hari Raya kepada generasi  yang terdahulu

Pengerusi Majlis Belia Daerah Pekan, Fitri Ali dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Ali

Pengerusi Majlis Belia Daerah Pekan, Fitri Ali dan Pegawai Daerah Pekan, Datuk Ali

Menurut Pengerusi Majlis Belia Daerah Pekan, Fitri Ali, 37, tradisi menyalakan pelita panjut ini bagi menerangi  laman rumah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sejak puluhan tahun lalu kini semakin dilupakan.

“Jika 10 tahun lalu, setiap rumah di kampung akan berlumba-lumba memasang pelita panjut bagi menghiasi laman rumah mereka, malah diadakan juga pertandingan bagi memeriahkan lagi suasana ketika umat Islam menyambut Hari Raya.

“Jadi pada hari ini pihak kami menganjurkan program sebegini untuk menarik minat golongan belia untuk merasai kenangan dan nostalgia pesta panjut ini.

” Seramai 60 orang peserta belia yag mewakili sembilan kumpulan berusia antara 16 hingga 40 tahun mengambil bahagian dalam Pertandingan Pesta Panjut pada hari ini.

“Kreativiti dan kemahiran dalam kalangan belia dalam menghasilkan pelita panjut boleh digilap dan menjadikannya satu aktiviti yg boleh menjana sumber pendapatan pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang peserta, Raj Kumar Anamalai, 21, berkata dia begitu tertarik dengan program yang dijalankan ini.

Raj Kumar sedang bertungkus-lumus menyiapkan panjutnya diumumkan sebagai Anugerah Khas Juri

Raj Kumar sedang bertungkus-lumus menyiapkan panjutnya diumumkan sebagai Anugerah Khas Juri

“Program sebegini bukan sahaja membuatkan saya dapat mempelajari budaya memasang pelita panjut pada malam tujuh likur ini malah saya juga dapat melihat perbezaan antara pesta cahaya masyarakat Melayu dan juga masyarakat India,” ujarnya yang kali pertama menyertai pertandingan ini bersama keluarganya.

Dalam pada itu, bertemakan Pulang ke Desa, Kumpulan 4B Kampung Lamir, Pekan dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang RM300.

Menurut Ketua Kumpulan, Norhafizah Ismail 28, program sebegini dapat menjalinkan ukhuwah dan talian persaudaraan sesama belia di kawasan Pekan khususnya.

 

“Penyertaan kali kedua kumpulan kami akhirnya membawa tuah. Idea hiasan ini tercetus daripada semua ahli kumpulan. Semua peralatan dibuat sendiri dengan menggunakan tin susu, buluh dan lain-lain.

“Saya berharap agar dapat dikembalikan semula panjut ini di kampung-kampung agar dapat menaikkan lagi suasana kemeriahan sambutan Hari Raya,” ujarnya lagi.

Turut hadir, Pegawai Daerah Pekan, Datuk Ali Syabana Sabarudin.

-SF

Tinggalkan komen anda