Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

Xing Xing, Liang Liang Gemar Buluh Kg. Kundur Ulu

By 16 Jun 2017Tiada komen4 minit bacaan

Laporan & Foto: Sapar Sutir (Rembau)

REMBAU, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Kemunculan pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang yang dipinjamkan kerajaan China membawa tuah kepada pengusaha buluh betung, Mohammad Sharif Rasid, 57, dan penduduk Kampung Kundur Hulu, Pedas, Negeri Sembilan.

Buluh yang ditanam di Kampung Kundur Ulu terpilih untuk dijadikan makanan pasangan panda tersebut setelah kedua-duanya amat menggemari rasa manis buluh berkenaan.

Menurut seorang pengusaha yang ditemui pada Selasa, Mohamamad Sharif, 57 menyatakan buluh betung di ladangnya sangat istimewa berbanding kawasan lain oleh sebab buluh ditanam di atas tanah bekas tapak sawah padi,

“Ini sekali gus membolehkannya hidup subur, menghasilkan rebung yang berkualiti, mengandungi air yang banyak dan menjadi kegemaran untuk dimakan oleh kedua-dua panda dari Zoo Negara di Hulu Kelang.

“Di Kg Kundur Ulu, juga terdapat Komuniti 1 Malaysia yang menyediakan buluh betung untuk makanan Panda di Zoo Negara.

“Buluh Betong inilah yang menjadikan Kg. Kundur Ulu telah dilawati oleh masyarakat dari luar untuk mengetahui lebih mendalam tentang buluh betung untuk makanan panda di Zoo Negara,” ujarnya.

Sharif turut menceritakan sejarah awal penanaman buluh betong di Kg Kundur Ulu.

“Semuanya bermula apabila tanah asal yang merupakan tapak sawah padi menjadi kering. Penebangan hutan berhampiran telah menyebabkan punca air menjadi berkurangan dan tanaman padi tidak dapat diteruskan.

“Pemilik-pemilik tanah telah mencuba pelbagai tanaman seperti labu dan pisang sebelum dipajakkan kepada syarikat milik orang Cina yang menanam buluh betung.

“Syarikat tempatan berkenaan  memajak tanah pusaka (tanah adat) milik penduduk kampong pada 2005 untuk menanam buluh betung untuk tujuan menghasilkan rebung yang dieksport ke Singapura, Hong Kong dan Taiwan.

“Setelah beberapa tahun bekerjasama dengan syarikat berkenaan, pemilik-pemilik tanah menghentikan pajakan pada 2010 kerana pembayaran yang tidak adil dan merugikan pemilik-pemilik tanah.

“Pada tahun yang sama juga, ladang buluh itu dipajakkan kepada sebuah syarikat dari Switzerland yang mengeksport buluh betung ke negara asal mereka untuk dijadikan perabot dan hiasan dalaman rumah. Berlaku juga masalah  yang sama, perjanjian ditamatkan pada Disember 2014,” ujarnya.

Tambahnya, dengan kehadiran dua panda dari Cina ini membawa tuah kepada penduduk kampung apabila berjaya memikat se­lera haiwan berkenaan. Buluh Kg Kundur mengandungi air yang banyak dan rasa manis berban­ding buluh-buluh yang ada di tempat lain. Buluh menjadi diet utama panda dan dinikmati seperti tebu.

1.Mohamad Sharif memberikan penerangan tentang buluh betung kepada para pelawat di Kg Kundur Ulu, Rembau.

Mohamad Sharif memberikan penerangan tentang buluh betung kepada para pelawat di Kg Kundur Ulu, Rembau.

“Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kundur Hulu mengikat peranjian dengan Zoo Negara pada 1 Januari 2015 bagi membekalkan buluh selama tiga tahun dan disambung setiap tiga tahun sehingga 10 tahun.

“Pihak Zoo Negara akan mengambil bekalan buluh pada setiap hari Isnin dan Jumaat. Sebanyak lima batang buluh dan 30 kilogram (kg) rebung bagi setiap pengambilan. Selepas melahirkan anak baru-baru ini, panda betina, Liang Liang lebih suka makan rebung berbanding buluh,

“Penduduk kampung sentiasa memantau kawasan ladang itu agar tidak diceroboh oleh orang luar bagi mencegah perbuatan khianat dan kecurian rebung. Ini juga untuk memastikan kawasan ladang buluh mereka selamat daripada sebarang masalah,” jelasnya.

Dalam pada itu, menerusi temu bual bersama pelawat dari Seremban, Syukur Ahmad, 41, mengatakan buluh betong di kampung tersebut amat berbeza kerana mampu menghasilkan rebung yang boleh dimakan terus walaupun belum dimasak dan rasanya sedap.

Rakannya, Zainal Ali, 56, pula yang mengiakan kenyataan tersebut turut menambah kawasan ladang buluh betong akan menjadi daya tarikan yang baharu untuk Kg Kundur Ulu sekali gus dapat menaikkan nama Daerah Rembau.

Sementara itu, memetik kata Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Datuk Seri Zaharin Md Arif, dalam sebuah akhbar tempatan, Zoo Negara tidak merancang melanjutkan tempoh penyimpanan Nuan Nuan, anak panda betina kepada pasangan Xing Xing dan Liang Liang, selepas tahun depan. (tahun ini) kerana kos tinggi yang perlu ditanggung jika dilanjutkan tempoh dua tahun yang ditetapkan dalam perjanjian antara Malaysia dan China.

Mengulas berkenaan isu tersebut, Syarif menyatakan mereka sedia maklum berkenaan hal tersebut dan bersedia untuk mengembangkan perniagaan rebung buluh.

“Rebung buluh menghasilkan pulangan yang lumayan kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada masyarakat yang menggemari makan rebung. Satu rumpun buluh boleh menghasilkan 70kg rebung dalam masa setahun dan berharga RM5 bagi setiap 1kg.

“Pemilik-pemilik ladang buluh betong turut mendapat tunjuk ajar daripada pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) untuk menjaga buluh betung dan menambahkan bilangan rebung dengan menggunakan baja khas,” ujarnya lagi.

-SF

Tinggalkan komen anda