Skip to main content
Berita TempatanNegeri Sembilan

99 Ramuan Rahsia Tempoyak Daun Kayu

By 16 Jun 2017Tiada komen2 minit bacaan

Laporan & Foto oleh: Hamidah Md Drus (Kuala Pilah)

SEREMBAN, 16 Jun (Malaysiaaktif) – Siapa sangka masak tempoyak daun kayu yang cukup terkenal sebagai makanan tradisi turun-temurun masyarakat Negeri Sembilan, merupakan hasil daripada ramuan tempoyak dan 99 jenis daun kayu.

Menurut penduduk asal Kuala Pilah yang ditemui, Sariah Husin, 68, asalnya masakan ini menggunakan 99 jenis daun kayu.

“Namun akibat kesukaran untuk mendapatkan daun-daun  kayu yang selalunya hanya terdapat di dalam hutan menyebabkan dia hanya menggunakan daun kayu yang ada di sekitar kawasan rumahnya sahaja.

“Antara daun yang digunakan dalam masakan yang bukan sahaja enak dimakan bersama nasi, malahan bersama roti ini juga adalah seperti pucuk ubi, daun kunyit, pucuk labu, pucuk cengkering, pucuk mata kerbau, pucuk rambai, pucuk kaduk, serai dan banyak lagi,” ujarnya.

Sabariah Yunus

Sabariah Yunus

Sementara itu, seorang lagi anak jati Negeri Sembilan, Sabariah Yunus, 57,  menjelaskan keunikan masakan ini terletak pada campuran daun herba yang dimasak bersama tempoyak, petai dan ikan bilis. Daun herba ini dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan tubuh badan.

Sabariah yang ditemui di Wisma Persekutuan pada Selasa juga turut berkongsi resepi penyediaan tempoyak daun kayu yang diwarisi daripada nenek moyangnya.

“Antara bahan yang digunakan seperti daun pucuk ubi, daun kaduk, daun kunyit, daun cengkering, daun labu, daun mambo, serai, petai, ikan bilis, cili padi, kunyit hidup, tempoyak dan santan segar. Kandungan santan bergantung kepada jumlah daun yang digunakan.

“Cara penyediaan masakan ini dimulakan dengan meracik halus semua jenis daun yang disediakan. Kunyit hidup dan cili api ditumbuk halus. Kemudian bahan tumbuk disatukan bersama santan, tempoyak, ikan bilis dan daun yang telah diracik di dalam periuk.

“Kesemua ramuan berkenaan dimasak di atas api sederhana sehingga pekat. Setelah itu, masukkan petai dan gaul rata. Akhir sekali perasakan dengan garam secukupnya.

Antara daun yang digunakan dalam masakan ini

Antara daun yang digunakan dalam masakan ini

“Resepi ini saya belajar daripada arwah ibu saya yang memang mahir memasak masakan tradisional. Juadah ini juga merupakan makanan kegemaran anak-anak saya. Tambahan lagi pada bulan puasa ini,” ujarnya lagi.

Menerusi tinjauan Malaysiaaktif di Bazar Ramadan Ampangan pada Selasa, rata-rata peniaga mengambil kesempatan menjual makanan tradisi itu sebagai menu berbuka utama sempena bulan puasa ini.

Bagi pengunjung bazar, Farullah Abd Kadir, 31, dia sering membeli tempoyak daun kayu kerana juadah ini menjadi kegemarannya sebagai pembuka selera pada bulan puasa.

“Tempoyak daun kayu ini pilihan utama saya sekeluarga. Selain keenakkannya, harganya juga berpatutan sekitar RM3,” ujarnya yang berasal dari Seremban.

Masakan ini juga menjadi menu wajib ketika majlis perkahwinan dan keramaian di Negeri Sembilan. Malahan Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan juga sering menjadikan masakan ini sebagai menu wajib dihidang pada majlis rasmi yang dianjurkannya sebagai simbolik makanan warisan.

-SF

Tinggalkan komen anda