
Laporan/Foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)
KUCHING, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Barau dan Linda antara sebelas orang penerima Kad Pengenalan dan menerima taraf kewarganegaraan daripada kerajaan Malaysia mengikut kaedah-kaedah Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1949 (Kaedah 13).
Mereka menerima Kad Pengenalan beserta status kerakyatan taraf kewarganegaraan semasa program penerapan nilai-nilai murni bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi di Padang KPSU, Sri Aman.
Barau anak Binti, 54, yang berketurunan Iban atau Sea Dayak dari rumah Encaluk Rapak Tepus Pantu, Sri Aman, menyatakan hari ini cukup bermakna di dalam hidupnya.
“Umur saya sudah menjangkau 54 tahun dan hari ini secara rasminya saya menjadi warganegara dan saya ucapkan terima kasih kepada pemimpin negara terutamanya Timbalan Perdana Menteri kerana menyampaikan sendiri Kad Pengenalan kepada saya.
“Hari ini saya betul-betul gembira kerana diiktiraf sebagai warganegara kerana sebelum ini saya memang tidak ada pengenalan diri dan boleh dikatakan sebagai pendatang asing, “ujarnya sebak.
“Dengan adanya Kad Pengenalan ini saya dapat mendaftar sebagai pengundi dan boleh ikut mengundi selepas ini,” katanya lagi.
Manakala Linda anak Bulang, 35 dari rumah Mana Bebemban Ibol, Sri Aman, telah lama memohon dan bersyukur permohonannya diterima.
“Saya sudah mohon kad pengenalan ini sudah lama dan hari ini baru dapat dan kini saya sudah memiliki kad pengenalan dan diiktiraf sebagai warganegara Malaysia. Terima kasih kepada yang membantu.
“Selama ini hidup saya seolah-olah pendatang asing kerana apabila keluar saya seringkali risau ditangkap pihak berkuasa. Kini saya tidak risau lagi dan terima kasih kepada Datuk Seri Timbalan Perdana Menteri yang memahami masalah rakyat,” ujarnya lagi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah anak Embas, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohd Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Masir Kujat, serta Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Wan Ali Basar.