Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

1500 Peserta Di Jangka Sertai Pendakian Aman 1st Sarawak Scout MoP Serapi

By 20 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan/Foto : Mohd Baharruddin Mohamad (Sarawak)

KUCHING, 20 Jul (Malaysiaaktif) – Lebih kurang 1,000 ahli pengakap dan 500 Masyarakat akan menyertai program pendakian aman sempena Hari Pengakap Malaysia, 1st Sarawak Scout Messengers of Peace (MoP) dan Serapi Climbathon 2017 Peringkat Kebangsaan pada 6 Ogos, Ahad ini bertempat Gunung Serapi, Taman Negara Kubah, Matang, di sini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata program anjuran bersama Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak ini bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan antara ahli-ahli pengakap dan masyarakat setempat serta merapatkan silaturahim antara mereka dalam konteks kepelbagaian kaum di Sarawak.

“Tujuan program adalah untuk meningkatkan kesedaran ahli-ahli pengakap sebagai agen keamanan kepada komuniti setempat serta menanam kesedaran gaya hidup yang sihat walau di mana mereka berada,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Karim berkata, ia juga dapat menyuntik semangat perpaduan dan cintakan negara melalui penerokaan flora dan fauna di samping melahirkan rasa tanggungjawab memelihara khazanah hutan di negara kita.

Di samping itu beliau berkata, antara tujuan lain ialah untuk memperkenalkan pengakap kepada masyarakat dan MoP sebagai platform menjadikan dunia lebih baik di samping merealisasikan Rancangan Intergrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP).

“Program ini antara lainnya untuk memperkenalkan Taman Negara sebagai satu pusat riadah kepada masyarakat setempat dan luar negara.

“Pendakian ini akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Pengakap kanak-kanak sejauh 950 meter dan Penyertaan Awam sejauh 2800 meter,” ujarnya lagi.

Setakat ini pogram ini telah menerima penyertaan daripada lebih 40 sekolah dari seluruh negara termasuklah dari Indonesia dan Brunei.

“Saya juga akan hadir untuk memberi sokongan kepada program ini dan difahamkan Ketua Pengakap Kebangsaan, Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh akan turut hadir.

“Penyertaan peserta masih dibuka dengan yuran penyertaan sebanyak RM50 dikenakan setiap seorang dan mereka yang berjaya menamatkan pendakian akan diberi pingat dan baju,” ulasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda