Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajayaViralWilayah Persekutuan

Hari Kebangsaan 2017 Bakal Hidupkan Nolstagia 1957

By 20 Julai 2017Tiada komen2 minit bacaan

 

 Laporan oleh: Aimi Huwaina / Foto: Fariz Faizal Mohd Nazri (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 20 Julai (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Kebangsaan 2017 pada 31 Ogos ini bakal membawa kelainan dengan menghidupkan semula suasana kemerdekaan 1957 di Dataran Merdeka.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, bagi memastikan agar suasana kemerdekaan dapat dirasai bersama, Dataran Merdeka bakal berubah wajah menjadi Stadium Merdeka pada 31 Ogos ini.

“Pada tahun ini juga kita ada skrin besar sepanjang 200 meter di sekeliling Dataran Merdeka. Jadi susun aturnya adalah berbeza kerana kita bawa Stadium Merdeka di situ.

“Kita ada juga merancang untuk mengadakan di Stadium Merdeka, tetapi oleh kerana keadaan di situ sekarang ini dalam proses membaik pulih, jadi kita reenact Stadium Merdeka di Dataran Merdeka,” katanya pada Sidang Media Sambutan Hari Kebangsaaan, di sini hari ini.

Salleh yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2017 berkata, sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ ini akan melibatkan pelbagai kaum dan agama.

“Kita ingin memberi penekanan tentang pentingnya rakyat Malaysia mengetahui pada ketika dulu bukannya mudah untuk kita capai kemerdekaan. Rakyat berbilang kaum berusaha bersungguh-sungguh bagaimana kita boleh memerdekakan negara kita daripada penjajahan,” katanya lagi.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menunjukkan pelan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menunjukkan pelan Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini.

Dalam pada itu, Salleh berkata walaupun Malaysia masih muda jika dibandingkan dengan negara-negara lain, namun pencapaian negara ini adalah sangat hebat.

“Kita harus terima hakikat sejak kita merdeka sehingga sekarang, banyak pencapaian yang telah kita rasai.. Sekarang pun kita lihat angka-angka yang diiktiraf oleh dunia, kedudukan negara kita ini amat membanggakan, tetapi kadangkala kita lupa hal-hal sedemikian,” katanya.

Tambah Salleh, kestabilan negara boleh diteruskan jika rakyat memahami penubuhan sebuah negara.

“Walau apapun perbezaan kita, sama ada pandangan politik ataupun dari segi pendekatan kita, tetapi dalam soal negara kita harus bersatu padu kerana tidak banyak negara dalam dunia ini yang telah mencapai kejayaan seperti kita di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos ini bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil, manakala sambutan Hari Malaysia pada 16 september bakal diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Aktiviti-aktiviti lain yang turut dilaksanakan sempena sambutan Hari Kebangsaan adalah seperti Merdeka@Komuniti, NBOS@Merdeka, Kayuhan Merdeka, Doa Untuk Malaysia, Merdeka My Buddies Run, Merdeka Quran Hour dan Karnival Hari Malaysia.

 

Tinggalkan komen anda